Umum

Annuar, Nazri, Tajuddin takut hilang gaji kah? Soal Nur Jazlan

Bekas Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini mempersoalkan penentangan beberapa pemimpin UMNO yang menolak pendirian parti itu yang mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan secepat mungkin.

Menurutnya dalam keadaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah bersedia menghadapi PRU-15, sepatutnya semua pemimpin memikirkan kepentingan parti dan bukannya mendahulukan keuntungan peribadi.

Situasi sekarang ini katanya, merupakan masa yang sesuai untuk PRU-15 dilaksanakan kerana UMNO dan BN berada dalam momentum terbaik dan semakin diyakini rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta Johor.

“Saya memang pelik dengan sikap beberapa ahli Parlimen dari UMNO macam Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Raham yang beria-ia sangat tak mahu PRU-15 dibuat segera.

“Apa yang mereka takutkan? Takut kalah? Atau takut hilang gaji sebagai MP?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nur Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata sepatutnya apabila parti sudah menyatakan pendirian mahu PRU-15 disegerakan, mereka perlu memberi sokongan padu demi kepentingan parti dan bukannya mahu menjaga tembolok sendiri.

Menurutnya ketika negara dan rakyat mula yakin bahawa BN mampu mengembalikan kestabilan, semua pihak sepatutnya mula memberikan idea atau cadangan bagaimana mahu memperkuatkan jentera parti berdepan lawan pada PRU-15 nanti.

“BN tidak boleh tunggu lebih lama lagi kerana jika terlambat momentum dan mood rakyat akan berubah. Lagipun negara perlu diselamatkan segera ketika seluruh dunia berdepan dengan krisis ekonomi dan inflasi.

“Makin lambat kita bentuk kerajaan yang stabil dan berwibawa, negara akan makin terkebelakang dan makin sukar untuk menangani pelbagai macam kemelut yang melanda. Masalah ekonomi terutamanya inflasi bukan boleh diselesaikan dalam tempoh setahun tapi jangka masa lebih dari itu,” katanya.

Nur Jazlan juga mendakwa menteri-menteri yang ada dalam kerajaan campuran diterajui Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang ini ternyata gagal dan tidak berkemampuan menyelesai masalah.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemimpin berkenaan supaya tidak usah lagi mengeluarkan kenyataan yang hanya menunjukkan mereka tidak mampu memberikan manfaat kepada kekuatan parti.

“Baik duduk diam-diam saja. Jaga kawasan dan jawatan sendiri elok-elok. Kalau tak mampu menyumbang kebaikan kepada parti, seeloknya jangan bercakap,” katanya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top