Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat satu pembohongan besar berkenaan pelupusan hutang peneroka FELDA.
Menurutnya, tuduhan Anwar itu satu tuduhan yang tidak berasa dan tidak bertanggungjawab.
“Anwar Ibrahim menuduh saya tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka FELDA. Ini satu pembohongan besar.
“Pelupusan hutang peneroka FELDA telah pun dilaksanakan ketika saya menjadi Perdana Menteri. Hal ini disahkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari 2023 di mana pelupusan hutang peneroka FELDA telah dilaksanakan pada tahun 2021.
“Namun, oleh kerana kekangan aliran tunai FELDA, kerajaan PH-BN (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan di hantaran Facebook hari ini.
Malah, Muhyiddin juga berkata mantan Pengerusi FELDA sebelum ini juga sudah mengesahkan perkara sama berhubung pelupusan hutang peneroka sudah dilaksanakan pada 2021 lalu.
“Susulan itu, mantan Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh juga telah membuat kenyataan pada 24 Februari 2023 bahawa pelupusan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 billion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021,” ujarnya lagi.
Muhyiddin dengan tegasnya mengatakan beliau bukan seorang yang suka berbohong dan tidak mengotakan janji seperti Presiden PKR itu.
“Saya bukan jenis manusia yang suka berbohong dan tidak mengotakan janji. Yang suka berbohong dan tidak menunaikan janji ialah Anwar Ibrahim.
“Dengan pembohongan yang terbaharu ini, semakin jelas Anwar Ibrahim bukanlah seorang yang layak untuk kekal menjadi Perdana Menteri,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Anwar mendakwa pemansuhan 80 peratus hutang peneroka FELDA yang dibuat kerajaan terdahulu tidak disertai sebarang kelulusan.