Politik

Anwar cabar mana-mana Ahli Parlimen sokong kerajaan beri rumah, tanah RM100 juta kepada Najib

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencabar mana-mana Ahli Parlimen dari blok kerajaan untuk menyokong satu plot tanah dan rumah bernilai RM100 juta kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, ketika rakyat susah hingga mustahil untuk mendapat RM100 sehari, memberi hartanah bernilai RM100 juta kepada bekas Perdana Menteri itu dengan sewenang-wenangnya adalah tidak munasabah.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, sekiranya ada mana-mana Ahli Parlimen yang menyokong pemberian itu, maka mereka akan ‘habis’.

“Saya mahu melihat jika ada Ahli Parlimen baik dari UMNO, Bersatu, Pas atau Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sokong pemberian RM100 juta (nilai tanah dan rumah) kepada Najib.

“Jika anda sokong, anda ‘habis’,” tegas Anwar lagi ketika berkunjung ke sebuah kedai minuman di sini bersama-sama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Anwar berada di sini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal menyaksikan hari pemilihan pada 20 November ini.

Hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz sewaktu menggulung perbahasan Bajet 2022 dalam Dewan Rakyat mengesahkan, kerajaan menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Media sebelum ini melaporkan permohonan Najib untuk sebidang tanah seluas 1.13 hektar dari kerajaan untuk aset berkenaan yang dikatakan terletak di sebuah lokasi di Petaling Jaya.

PALING POPULAR

To Top