Umum

Anwar gesa audit forensik siasat masalah Sapura Energy

Audit forensik perlu dilakukan terhadap syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia, Sapura Energy Bhd (SEB).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masalah yang dialami syarikat SEB adalah bersifat ‘simptomatik’ selepas ia mula dikesan pada 2016.

Jelas Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson lagi, masalah yang berlaku dalam SEB tidak seharusnya diletakkan di bahu kerajaan untuk menanganinya.

“Kalau nak campur, pertama buat audit forensik, minta pengurusan sekarang bagi tahu penyelesaian, perlu kerajaan campur tangan? Apa syarat? Bagaimana siasatan lengkap dan rapi untuk hukum yang salah guna kuasa.

“Kalau tak berulang MRT… DNB… mula RM10 bilion, ulang permasalahan sama sehingga tiada ‘good governance’, dan tekad politik untuk betulkan sistem yang wujud.

“(Datuk Seri) Najib (Razak) kata harga minyak… tak sebenarnya betul kerana semata-mata harga minyak.

“Kedua harus ada unjuran dan kalau ada kepakaran, pengurusan baik, atau tak salah guna kuasa ada keupayaan untuk menjangka, dapat leraikan permasalahan dan kemelut dihadapi. Tak boleh untung pendapatan RM100 juta setahun, bila ada masalah hempap pada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Debat Perdana antara beliau dan Najib yang berlangsung di Auditorium MATIC malam ini.

Debat Perdana tersebut melibatkan tiga bahagian iaitu isu SEB; masa depan Malaysia merangkumi aspek politik, urus tadbir dan hala tuju negara; sebelum disusuli dengan sesi soal jawab.

Membahaskan lanjut, Presiden PKR itu berkata melalui audit forensik, tindakan boleh diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam permasalahan yang berlaku dalam SEB.

Tegas beliau, individu  yang melakukan jenayah dengan menjahanamkan syarikat Bumiputera tidak boleh dilepaskan.

“Kalau main selamatkan, saya tak tahu Petronas guna apa kalau tak pakai satu sen? Ini kita kena jelas. Nak guna alasan syarikat Bumiputera, saya tak mahu ini dijadikan asas, Bumiputera atau bukan Bumiputera.

“Jadi pengajaran orang bertanggungjawab, umpama bank beli saham beli Genting di Hong Kong, bank jadi masalah, salah siapa? Pengurus bank itu, jangan mudah-mudah saja…

“Sekarang lepas tangan, seolah-olah tak ada salah (tetapi) harga minyak sahaja yang salah. Tak betul, kalau ada suntikan kita pun ada suntikan,” ujarnya lagi.

Media sebelum ini melaporkan kedua-dua pemimpin itu saling mencabar antara satu sama lain untuk merungkai mengenai isu SEB yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top