Umum

Azalina Othman dedah SPRM tiada bukti PN terima dana syarikat judi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman mendedahkan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada bukti parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) menerima sumbangan daripada dana syarikat judi pada PRU15 lalu

Menurutnya, SPRM telah menjalankan kajian secara terperinci mengenai dakwaan itu dan mendapati maklumat yang diterima terlalu umum serta tiada pihak boleh mengesahkannya.

“Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin mengetahui status siasatan terhadap dakwaan parti-parti di dalam PN mendapat sumbangan daripada dana judi ketika kempen pilihan raya umum yang lepas.

Pada Disember tahun lalu, Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Anwar berkata Kementerian Kewangan juga mendapati “pelanggaran” dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.

Dalam laporan itu, Anwar dipetik sebagai berkata, dana pilihan raya untuk parti “Melayu” dan parti “Islam” datang dari syarikat perjudian.

Dalam satu lagi jawapan bertulis Azalina berkata, siasatan SPRM juga mendapati tiada unsur penerimaan rasuah terhadap parti-parti yang mendapat dana ketika PRU15.

Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan Hadi Awang (PN-Marang) mengenai status siasatan SPRM terhadap parti-parti kerajaan berhubung perbelanjaan ketika PRU15 termasuk sumber dana.

Sumber: FMT

PALING POPULAR

To Top