Umum

Azam Baki dilantik semula Ketua Pesuruhjaya SPRM

Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tempoh setahun, berkuat kuasa 12 Mei ini.

Pelantikan semula Azam dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Zuki, pelantikan tersebut diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].

Azam sudah berkhidmat selama 36 tahun dengan SPRM, yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah Malaysia (BPR).

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau bersama BPR/SPRM sejak tahun 1984, Azam telah melaksanakan tugas dalam pelbagai bidang antaranya sebagai Pegawai Penyiasat, Pegawai Perisikan, Pegawai Pendakwaan serta tugas sampingan dalam aktiviti pendidikan masyarakat.

Beliau juga pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam SPRM, antaranya sebagai Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Siasatan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi).

Atas pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan di BPR/SPRM, Azam telah dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top