Umum

Bapa hilang ditemui terbabas dalam kemalangan

“Saya lega Ayah segera ditemui, biarpun sudah tidak bernyawa, kami sekeluarga reda.”

Demikian luahan Zul Husni Zahari, 39, anak sulung kepada Zahari Zakaria, 62, juruukur di Pelabuhan Johor, yang hilang selepas bertolak dari rumahnya di Kemaman, Terengganu untuk kembali bekerja di Pasir Gudang, pada Ahad.

Jelas Zul Husni, ayahnya bertolak sekitar pukul 10.30 malam pada Ahad selepas menghantar ibunya pulang ke Kemaman, Terengganu.

Menurut Zul Husni, ayahnya memaklumkan mahu pulang ke Pasir Gudang kerana ada urusan kerja yang belum diselesaikan lagi.

“Ahad lebih kurang jam 10.30 malam ayah bergerak dari rumah. Sepatutnya ayah dijangka tiba di tempat kerja pada keesokan paginya.

“Ibu ada menghubungi ayah pada waktu Subuh tetapi tidak dapat dihubungi. Saya hubungi tempat kerja ayah, memaklumkan ayah tiada. Saya jadi risau dan membuat laporan polis sebelum menularkan kehilangan ayah di media sosial.

“Kami semua menetap di Kemaman, Terengganu. Hanya ayah sahaja yang berulang dari Pasir Gudang-Kemaman, Terengganu kerana bertugas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelas Zul Husni, ayahnya sudah lebih 20 tahun melalui jalan sama setiap kali pulang bertugas menggunakan Jalan Kemaman ke Johor Bahru laluan Kuantan-Pekan-Rompin-Mersing-Kota Tinggi-Pasir Gudang.

Katanya, selepas membuat laporan polis, pihaknya ada menghubungi beberapa balai polis untuk bertanyakan tentang kemalangan di sepanjang jalan terbabit.

“Kalau diikutkan ayah sudah bersara tetapi ditawarkan semua kerja secara kontrak sejak tahun lalu.

“Cukup 24 jam saya buat laporan polis berhubung kehilangan ayah dan ada menghubungi balai polis bertanyakan sama ada terdapat kemalangan di sepanjang laluan perjalanan ayah.

“Namun, semalam tiada berita dan dapat tahu ini ada kemalangan pagi ini,” katanya.

Sejak pagi Selasa, tular di media sosial kehilangan Zahari Zakaria yang menaiki kereta Produa Myvi berwarna biru selepas bergerak ke Pasir Gudang dari Kemaman, Terengganu pada Ahad tidak dapat dihubungi.

PALING POPULAR

To Top