Umum

Bayaran BKC diharap ringankan beban rakyat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berharap pengkreditan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) bagi Fasa Satu bermula hari ini, sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

Menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini, Ismail Sabri berkata, dana berjumlah RM3.1 bilion sudah disalurkan kepada institusi perbankan berkaitan untuk pembayaran BKC.

“BKC ini akan memanfaatkan 10 juta penerima yang memfokuskan kumpulan sasar merangkumi kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan,” katanya.

Rabu lalu, Ismail Sabri menyatakan mengambil maklum isu kelewatan bayaran BKC yang sepatutnya dilaksanakan bulan lalu dan mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran.

Beliau berkata, kerajaan kini melaksanakan rangsangan ekonomi rakyat dan negara melalui inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

“Besar harapan saya untuk memastikan usaha ini berjaya demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Semakan status BKC boleh dibuat melalui portal https://bkc.hasil.gov.my. – BERNAMA

PALING POPULAR

To Top