Beberapa jalan di ibu negara akan ditutup bermula pukul 6.30 pagi hingga 12 tengah hari bagi memberi laluan kepada sesi raptai acara sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata esok Jalan Raja akan ditutup mulai pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.
“Pada 26 hingga 29 Ogos pula bermula 6.30 pagi hingga 12 tengah hari, jalan ditutup membabitkan Jalan Raja, Jalan Raja Laut, Leboh Pasar dan Jalan Sultan Hishamuddin menuju ke Dataran Merdeka,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada 27 hingga 29 Ogos, raptai penuh akan diadakan dan semua laluan menghala ke Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Travers ke arah Dataran Merdeka, Jalan Damansara dari arah Lebuh raya Seremban, susur ke Jalan Travers dan Jalan Damansara dari arah Parlimen menghala ke Bangsar akan ditutup.
Selain itu sebanyak 18 jalan di sekitar ibu kota akan ditutup dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari pada 31 Ogos ini bagi memberi laluan kepada sambutan tersebut.
Jalan yang terlibat ialah Jalan Travers, Jalan Damansara, Jalan Damansara (arah ke Bangsar), Bulatan Hishamuddin, Jalan Kinabalu (arah Selayang), Jalan Kinabalu (arah Cheras), Jalan Kinabalu (Bulatan Dato Onn), Jalan Kuching, Bulatan Dato Onn (dari Jalan Parlimen), Bulatan Dato Onn (dari Jalan Sultan Salahuddin), Jalan Tun H. S. Lee, Jalan Gereja, Jalan Hang Kasturi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi dan Jalan Bunus 6.
— BERNAMA