Umum

Singapura tak lagi wajibkan pemakaian pelitup muka dalam bangunan

Penduduk Singapura tidak lagi diwajibkan untuk memakai pelitup muka di dalam bangunan, mulai Isnin depan.

Bagaimanapun, mereka masih perlu memakai pelitup muka ketika menaiki pengangkutan awam dan di tempat berisiko tinggi seperti kemudahan kesihatan.

Kementerian kesihatan juga sudah mengemas kini peraturan untuk pengembara yang tidak divaksin, dengan mengecualikan mereka daripada kuarantin tujuh hari mulai minggu depan.

Singapura, yang menjadi hab kewangan dan kembara, menarik balik kebanyakan peraturan, termasuk sekatan perjalanan, awal tahun ini.

Kira-kira 70 peratus daripada 5.5 juta penduduknya sudah dijangkiti Covid-19, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, dalam satu sidang media.

Beliau menambah kadar jangkitan semula kepada individu pernah dijangkiti adalah “sangat rendah”.

Singapura sudah memvaksin lebih daripada 90 peratus populasinya dan mempunyai kadar kematian akibat Covid-19 paling rendah di dunia.

Sumber: Harian Metro

PALING POPULAR

To Top