Umum

Bekas CEO Finas saman kerajaan selepas tamatkan kontrak lebih awal

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memfailkan saman terhadap kerajaan atas alasan beliau diberhentikan secara tidak sah dan sebelum kontraknya tamat.

Md Nasir Ibrahim memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Pengerusi Lembaga Finas Kamil Ahmad Mohd Othman, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Mastura Ahmad Mustafa, dan ahli Lembaga Pengarah Finas Noor Azam Shairi dan Idwan Ariff Abdul Rahman, lapor New Straits Times hari ini. 

Memetik pernyataan tuntutannya, laporan itu berkata Nasir mendakwa penamatan jawatannya, dilakukan dengan niat jahat dan beliau tidak diberi alasan kukuh untuk penyingkirannya.

Nasir dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Finas untuk tempoh dua tahun mulai 1 November 2021 hingga 30 Oktober 2023.

Beliau dilantik menggantikan bekas CEO agensi itu, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, yang meletak jawatan dan menamatkan perkhidmatannya pada 15 Oktober 2021.

Pada 1 Jun lalu, agensi itu mengumumkan kontrak Nasir ditamatkan sebagai sebahagian daripada langkah untuk merombak organisasi dan membawa perubahan kepada industri filem tempatan.

Sementara itu, Fahmi berkata ia merupakan keputusan lembaga pengarah dan sebahagian daripada penstrukturan semula dasar Finas untuk menentukan hala tuju masa depannya.

Menurut Harian Metro, Nasir mendakwa Finas tidak mempunyai lembaga pengarah yang sah terdiri daripada sekurang-kurangnya sembilan ahli pada masa itu.

“Memandangkan hanya empat orang (dan) lembaga itu tidak diberi kuasa untuk mengeluarkan surat penamatan perkhidmatan saya,” katanya dipetik akhbar itu.

Nasir dikatakan sedang memohon perintah mahkamah supaya surat pemberhentiannya diisytiharkan terbatal dan tidak sah, serta menuntut sebanyak RM135,000 sebagai ganti rugi khas selain kadar faedah 5%.

Sumber: Malaysianow

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top