Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, 64, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduha melibatkan tuntutan palsu berjumlah lebih RM1.18 juta yang dilakukan pada tahun 2013 hingga tahun 2017.
Pengakuan berkenaan dibuat selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim Norsalha Hamzah di Mahkamah Sesyen 1 Kangar, pada Isnin.
Berdasarkan kelima-lima pertuduhan, Azlan didakwa mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu melibatkan kos bagi tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London yang dikemukakan sebagai kemudahan ‘Cuti Seberang Laut’ sedangkan tidak ada perjalanan seperti yang dituntut.
Bagi pertuduhan pertama bekas Menteri Besar Perlis itu didakwa telah mengemukakan Inbois Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. bertarikh 11 Disember 2023 yang mengandungi tuntutan berjumlah RM230,230 melibatkan perjalanan pada tarikh 20 Disember 2013 hingga 2 Januari 2014.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa mengemukakan sebut harga tiket penerbangan pergi balik ke London dan hotel penginapan, Pesanan Kerajaan Negeri Perlis (borang AM 75E) dan invois dari agensi pelancongan sama yang mengandungi tuntutan berjumlah RM216,260 dan RM241,295.40, masing-masing melibatkan tarikh 17 hingga 26 Disember 2014 serta 18 hingga 29 Disember 2015.
Bagi pertuduhan keempat, Azlan didakwa mengemukakan sebut harga tiket penerbangan pergi balik ke London dan hotel penginapan, Pesanan Kerajaan Negeri Perlis (borang AM 75E) dan Invois Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. bertarikh 29 Disember 2016 melibatkan tuntutan sebanyak RM253,195.40 bagi tarikh 23 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017.
Manakala, pertuduhan kelima adalah melibatkan dakwaan terhadap ahli politik itu yang mengemukakan sebut harga tiket penerbangan pergi balik ke London dan hotel penginapan, Pesanan Pembelian Kerajaan Negeri Perlis (borang AM 75-Pin.1/2007) dan Invois Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. bertarikh 30 November 2017 bagi perjalanan pada tarikh 23 hingga 30 November tahun berkenaan berjumlah RM244,079.30.
Kesemua petuduhan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.
Tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap itu jika butir matan yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid.
Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudiaannya menetapkan 12 Mei 2023 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sumber: Astro Awani