Sports

Belum ada keputusan mengenai masa depan Pogba

PAUL POGBA mengakui masih belum ada keputusan mengenai masa depannya walaupun kontrak pemain tengah itu bersama Manchester United akan tamat pada penghujung musim ini.

Pemain kebangsaan Perancis itu mengalami naik-turun prestasi di Old Trafford sejak kembali menyertai pasukan itu daripada Juventus pada 2016.

Bercakap kepada Telefoot, Pogba menjelaskan mengenai keadaan terkininya di United dan betapa dia berasakan bahawa aksi bersama pasukan kebangsaan memberikannya peluang untuk berehat daripada situasi di United.

“Anda perlu bercakap benar: terdapat waktu sukar, terutama ketika saya berada di Manchester.

“Apabila saya tidak bermain atau apabila keputusannya tidak bagus, berada di sini (bersama skuad kebangsaan Perancis) memberikan anda lonjakan,” katanya.

Pogba dikaitkan untuk menyertai beberapa kelab besar seperti Paris Saint-Germain (PSG), Real Madrid dan bekas kelabnya, Juventus, tetapi dia juga tidak menolak kemungkinan untuk melanjutkan kontrak di Old Trafford.

“Belum ada apa-apa keputusan mengenai masa depan saya, masih belum ada apa-apa.

“Saya boleh menentukannya esok dan saya boleh menentukannya dalam jendela perpindahan. Saya mahu kembali dan menamatkan musim ini dengan baik,” katanya lagi.

PALING POPULAR

To Top