Umum

BNM teliti pelbagai langkah stabilkan matawang ringgit

Gambar Facebook

Bank Negara (BNM) meneliti pelbagai langkah dan inisiatif yang boleh memastikan ringgit kekal stabil dan disokong, termasuk kerjasama syarikat korporat bagi membawa pulang pendapatan mereka ke dalam pasaran.

Menurut Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid, bank pusat telah berbincang dengan beberapa syarikat korporat yang mempunyai baki mata wang asing bahawa mereka digalakkan membawa pulang dan menukar mata wang asing mereka.

“Kita akan memberi kelulusan kepada mereka untuk melabur di luar negara apabila sampai masanya. Jika mereka perlu melabur di luar negara dan telah menyusun pelaburan, maka mereka boleh datang kepada kita untuk mendapatkan kelulusan.

“Kita telah berjanji dengan mereka bahawa BNM akan memudahkannya,” katanya semasa sesi panel ‘Ringgit, Bon dan Pasaran Ekuiti’ di Simposium Sasana Bank Negara Malaysia 2024.

Katanya, pihaknya bekerjasama rapat dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat asing sejak Februari untuk membawa pulang pendapatan asing dan usaha itu telah banyak memberi manfaat kepada Malaysia.

“Jika anda meneliti prestasi ringgit ketika BNM memulakan usaha itu dan hari ini, mata wang tempatan telah mencapai prestasi baik dan meningkat berbanding dolar AS (Amerika Syarikat) sebanyak hampir 1.2% sekarang,” katanya.

Adnan berkata, walaupun ringgit mengukuh berbanding beberapa mata wang asing, unit domestik juga rendah berbanding beberapa mata wang asing lain sejak dua tahun lepas apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) mula menaikkan kadar faedah.

“Oleh itu, perkara tersebut perlu dimasukkan ke dalam konteks keseluruhan yang memacu prestasi. Faktor lain ialah isu geopolitik semasa yang terus menimbulkan ketidaktentuan serta prospek pertumbuhan China,” katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata terdapat jangkaan yang Fed menurunkan kadar faedah tahun ini sekali gus keadaan itu akan menggalakkan bagi ringgit.

 

 

PALING POPULAR

To Top