Umum

100 tahun MAHA, ‘Menuai Harapan, Membina Masa Depan’

Gambar Facebook

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sasar penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 dapat merealisasikan aspirasi meningkatkan lagi penggunaan teknologi moden dalam kalangan para petani dan pengusaha pertanian tempatan.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, MAHA 2024 dijadualkan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), pada 11 hingga 22 September depan dengan tema ‘Menuai Harapan, Membina Masa Depan’ bersempena 100 tahun penganjurannya,

“Melalui pameran ini, pengunjung dan pemegang taruh akan merasai pengalaman secara langsung aplikasi inovasi seperti pertanian pintar, penggunaan data besar dan automasi yang boleh dalam operasi harian sektor pertanian.

“Malah, MAHA 2024 juga perlu menjadi platform untuk mempromosikan produk pertanian tempatan ke pasaran antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran MAHA 2024 di MAEPS, di sini pada Isnin.

Beliau turut berkata, pihaknya yakin produk-produk usahawan tempatan mampu menembusi pasaran global menerusi penyertaan para delegasi dan pelaburan antarabangsa, serta meningkatkan pendapatan para petani dan pengusaha tempatan.

MAHA 2024 memfokuskan kepada galakkan amalan pertanian lestari supaya usaha memelihara alam sekitar serta kelestarian sumber pertanian dapat dilaksanakan secara meluas.

Dalam ucapan, beliau turut menyatakan hasrat untuk memastikan pertanian yang dilaksanakan tidak hanya memenuhi keperluan masa kini tetapi dapat diwaris untuk generasi akan datang.

“Selain daripada fokus berkenaan, MAHA 2024 turut memberi penekanan kepada ‘Internet of Things’ (IoT) dalam pertanian, perikanan, penternakan dan perladangan.

“Saya juga ingin menekankan bahawa sektor pertanian bukan tentang pengeluaran makanan semata-mata, ia juga merangkumi aspek ekonomi, sosial dan ekologi yang lebih luas.

“Oleh itu penting untuk kita mengintegrasikan semua aspek ini dalam perancangan dan pelaksanaan dasar pertanian negara,” ujarnya.

 

PALING POPULAR

To Top