Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mengambil dos penggalak ketiga vaksin Covid-19 secara ‘walk-in’.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, prosedur pengambilan vaksin itu juga boleh dilakukan secara janji temu menerusi aplikasi digital, MySejahtera.
Beliau berkata demikian semasa sidang media khas di Kompleks E KKM hari Isnin sambil berkata “Stok vaksin masih mencukupi buat masa ini, terutama sekali untuk mereka yang mempunyai risiko atau berkomorbiditi tinggi.”
Beliau yang juga tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kes menjelang minggu cuti tahun baharu, persekolahan dan Hari Natal akan datang, turut menjelaskan KKM akan terus memantau perkembangan kes Covid-19 termasuk varian baharu agar situasi berada dalam keadaan terkawal.
“Kita harap dengan langkah pencegahan yang dibuat ini akan berlakunya penurunan kes Covid-19,” ujar beliau.
Hadir sama ke sidang media itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Norhayati Rusli.
Ditanya mengenai kegusaran orang awam tentang kemasukan pelancong asing ke dalam negara, Dr Norhayati memaklumkan, KKM akan terus melakukan pemantauan sama ada melibatkan warga asing dan tempatan.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa pihaknya tidak bercadang untuk membuka semula pusat pemberian vaksin (PPV) buat masa ini.
Menurutnya lagi, tiada keperluan untuk melakukan pendekatan sebegitu memandangkan keadaan Covid-19 dalam negara masih terkawal.
“Individu yang mahu mengambil suntikan vaksin boleh hadir ke klinik kesihatan atau hospital terdekat,” ulas Dr Norhayati.