Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menyatakan pengguna boleh terus mengakses aplikasi MyJPJ tanpa perlu log masuk menggunakan MyDigital ID selepas 10 Oktober 2024.
Menteri Pengangkutan berkata, notifikasi yang muncul pada aplikasi MyJPJ baru-baru ini bukanlah suatu pengumuman rasmi.
Saya telah pun mengarahkan supaya (notifikasi) ‘pop-up’ itu diturunkan serta-merta sebab belum ada keputusan daripada kementerian, katanya pada sidang media di Putrajaya.
Menurut Loke, beliau telah mengadakan perbincangan dengan wakil MyDigital ID hari ini, dan mereka menyokong usaha mengintegrasikan MyDigital ID dengan MyJPJ secara lancar pada peringkat ‘backend’.
Kita akan ambil sedikit masa untuk pengintegrasian secara ‘backend’ supaya ‘pre-approval’ dapat diberikan dengan lebih mudah (kepada pengguna) … prosesnya lebih cepat dan tidak perlu mengambil masa yang panjang, katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata integrasi itu akan dilaksanakan beransur-ansur, dan beliau memberi jaminan bahawa aplikasi MyJPJ boleh digunakan seperti biasa.
Kita akan lihat perkembangannya dan pengumuman akan dibuat dari semasa ke semasa untuk memastikan (proses) log masuk yang lebih mudah dan selamat pada masa akan datang, katanya.
Notifikasi di aplikasi MyJPJ, yang telah diturunkan, memaklumkan bahawa pengguna perlu menggunakan MyDigital ID untuk log masuk mulai 10 Oktober.
Pengumuman itu sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat, dengan segelintir pengguna mempersoalkan mengapa sistem pengenalan itu diwajibkan sedangkan aplikasinya dibelenggu pelbagai masalah.