Umum

Bukit Aman siasat kematian mengejut warga asing dalam tahanan

Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menyiasat laporan berhubung kematian mengejut seorang lelaki warga asing yang merupakan Orang Kena Tahan (OKT) di Hospital Kajang hari ini.

Pengarah JIPS Datuk Azri Ahmad berkata lelaki warganegara Myanmar itu telah dihantar ke hospital berkenaan pada Isnin lepas sekitar pukul 8.10 pagi selepas mengadu tidak sihat dan ditahan di wad bagi menerima rawatan rapi.

“Hari ini pihak hospital memaklumkan bahawa OKT telah meninggal dunia dan punca kematian masih belum diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, katanya pada 5.30 petang 30 Jan lepas, seorang lelaki tempatan telah menyerahkan lelaki warga asing itu kepada pihak polis di One Stop Centre Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Selangor kerana dipercayai mencuri sebuah motosikal.

Beliau berkata suspek disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Azri berkata siasatan kes kematian mengejut itu dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan jabatan itu.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top