Umum

Bukit Aman siasat video ucapan Zahid pada Taklimat Khas Presiden

Bukit Aman telah membuka kertas siasatan terhadap ucapan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika majlis Taklimat Khas Presiden di Pusat Dagangan Dunia, Sabtu lalu (27 Ogos 2022).

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata 12 laporan polis telah dibuat berhubung video ucapan Zahid ketika majlis itu.

“Unit Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sedang menyiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara salah.

“Setakat ini, kami telah menerima 12 laporan dan siasatan sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (30 Ogos).

Pada Sabtu, Zahid mengadakan taklimat khas untuk ahli dan pemimpin UMNO yang dikatakan ada kaitan dengan bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020 setelah didapati bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Ia merupakan detik yang penuh emosi bagi mereka yang hadir pada taklimat khas itu apabila klip video bekas presiden parti itu, yang disediakan oleh keluarganya serta Umno, ditayangkan. Ada yang dilihat mengesat air mata ketika imej Najib terpapar di skrin besar.

Hadir sama ahli keluarga bekas perdana menteri itu termasuk isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Susulan itu beberapa laporan polis dibuat terhadap ucapan Zahid pada majlis berkenaan, termasuk yang dibuat oleh Armada Bersatu Malaysia.

Menurut artikel ditulis seorang pemerhati politik bebas, Dr Suharmile Rosli susulan taklimat itu berlegar di media sosial pendedahan mengenai gerakan mahu memalukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di hadapan ribuan perwakilan bahagian dan pimpinan parti UMNO dalam majlis taklimat khas tersebut.

Serentak itu juga, tentatif majlis taklimat khas tersebut turut beredar, antara lain membabitkan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang membaca doa dan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengulas mengenai keputusan penghakiman ke atas Najib.

Selainnya ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan; ucapan dua peguam bela Najib, iaitu Tan Sri Shafee Abdullah dan Datuk Zaid Ibrahim; serta ucapan dua anak Najib, iaitu Mohd Nizar dan Nooryana Najwa; sebelum taklimat diberikan Zahid, dan diakhiri lagu Teman Sejati.

Tokoh yang mula-mula membangkitkan sentimen dan emosi hadirin adalah Zaid yang menyebut betapa Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan beliau membawa bukti baharu mengenai Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang dikatakan tidak sepatutnya menghakimi kes Najib

Disebut oleh Zaid: “Kalau anak Tun Razak tidak dapat proses perundangan yang adil, apakah kita marhaen Malaysia ini dapat?” diikuti oleh tuduhan, “Kepincangan dalam pentadbiran undang-undang negara kita telah terlalu berat untuk kita seorang UMNO.”

Ahmad turut menaikkan suhu dengan berulang kali menanyakan kepada hadirin, “Adil atau tidak?” yang dijawab oleh hadirin, “Tidak” sebelum suhu dipanaskan lagi oleh Azalina.

Azalina antara lain mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan penangguhan kes dengan menyebut, “Takkanlah takut sangat?”, “Agaknya dia tak nak orang tahu cerita sebenar” dan “Mesti masukkan (Najib ke penjara) hari ini juga.”

Disebutkan juga oleh Azalina bahawa dalam kes-kes jenayah, ada apa-apa bukti yang boleh dilihat menggoyangkan keputusan itu dibawa masuk dibenarkan.

Turut disentuh oleh Azalina mengenai kuasa besar Peguam Negara serta kenyataan, “Siapa jadi Perdana Menteri, dia mesti jadikan Peguam Negara orang dia” dan “Kalau kita tengok sejarah mana-mana negara demokrasi, Peguam Negara akan ditukar mengikut suara kepimpinan negara tersebut.”

Kenyataan Azalina ini pula dipuji oleh Zahid yang menyifatkan beliau sebagai seorang wanita besi yang ucapannya dikatakan menambahkan lagi keyakinan serta membakar semangat untuk terus berjuang bagi memastikan keadilan dan sistem perundangan negara tidak dirobek oleh tangan-tangan yang menjadikannya sebagai papan catur.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top