Umum

Ceroboh pusat kebajikan, rogol warga emas

Polis menahan seorang pengutip besi buruk kerana disyaki menceroboh sebuah pusat kebajikan orang tua di sekitar Seri Alam dan merogol penghuninya, seorang wanita warga emas, tengah malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki berumur 45 tahun itu ditahan kira-kira 8 malam semalam di sekitar kawasan Desa Cemerlang, Ulu Tiram, dekat sini, susulan laporan polis yang dibuat oleh pemilik premis pusat berkenaan pada tengah hari, hari yang sama.

Beliau berkata kejadian disedari salah seorang penghuni di pusat berkenaan, yang ternampak kehadiran lelaki terbabit di katil mangsa sekali gus bertindak memaklumkan kejadian itu kepada penjaga pusat tersebut.

“Pemilik pusat kebajikan berkenaan dimaklumkan oleh penjaga pusat itu bahawa pada 12.30 tengah malam, terdapat seorang lelaki telah menceroboh masuk melalui tingkap bawah pusat berkenaan yang tidak ditutup.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kelihatan seorang lelaki menceroboh masuk dan melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap warga emas yang sedang tidur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut dirampas daripada lelaki itu pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian iaitu kemeja T berwarna merah, biru dan putih, sehelai seluar panjang berwarna biru gelap tanpa jenama serta sepasang selipar.

Mohd Sohaimi berkata, ujian saringan air kencing lelaki berkenaan adalah negatif namun siasatan mendapati tertuduh mempunyai satu rekod jenayah dan tiga rekod berkaitan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh kediaman yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lelaki terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merogol yang boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Individu berkenaan direman mulai hari ini sehingga 17 November untuk siasatan lanjut, kata beliau.

PALING POPULAR

To Top