Umum

Cukai tertunggak Shafee Abdullah, peghakiman terus dibuat

Gambar Keluar Sekejap

Mahkamah Tinggi di sini membenarkan penghakiman terus dibuat terhadap peguam Shafee Abdullah atas tunggakan cukai dalam tempoh lima tahun antara 2011 dan 2016, bagaimanapun, jumlah dapat diperoleh kerajaan hanya akan diketahui pada Isnin.

Pesuruhjaya kehakiman Roz Mawar Rozain berpendapat, berdasarkan afidavit, Shafee tidak dapat membela diri terhadap tuntutan itu dan tiada isu yang memerlukan keterangan saksi pada perbicaraan penuh.

Dalam membenarkan permohonan itu, Roz Mawar berkata, beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini dalam kes tunggakan cukai bekas perdana menteri Najib Razak sebanyak RM1.69 bilion.

Dalam kes Najib, mahkamah tertinggi itu memutuskan bahawa pembayar cukai mesti menjelaskan semua jumlah tertunggak dinilai perlu dibayar sebelum membuat rayuan kepada pesuruhjaya khas berhubung kuantum taksiran yang dibuat oleh LHDN.

Terdahulu, Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad memberitahu mahkamah, LHDN berhasrat untuk meminda jumlah yang dituntutnya.

Rajan Navaratnam, yang mewakili Shafee selaku peguam, memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak akan menyediakan draf perintah mahkamah yang memperincikan angka sebenar jumlah penghakiman selewat-lewatnya pada Isnin.

Pada 2021, LHDN memfailkan saman terhadap Shafee untuk mendapatkan tunggakan cukai berjumlah lebih RM9.41 juta

Mereka mendakwa Shafee berhutang dengan kerajaan sejumlah cukai yang belum dibayar selama lima tahun – RM434,326.17 untuk 2011; RM978,854.11 (2012); RM3.58 juta (2013); RM1.73 juta (2014); dan RM1.82 juta (2016).

LHDN berkata, notis penilaian untuk tempoh lima tahun itu dihantar ke alamat terakhir Shafee yang diketahui pada 31 Mei 2019, dan tidak pernah dikembalikan kepada pihaknya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top