Umum

‘Dah macam undang-undang rimba’

TINDAKAN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) melarang tiga persatuan negeri menyertai Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada 12 Februari depan masih menimbulkan tanda tanya.

Malah, Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran sekali lagi tampil mempersoalkan keputusan Ahli Majlis Tertinggi PSM yang tidak membenarkan ‘penyertaan’ tiga persatuan negeri itu dalam AGM berkenaan.“Saya nak tanya, larangan (menghadiri AGM) itu dibuat atas peruntukan mana dalam perlembagaan PSM sedangkan Selangor, Wilayah Persekutuan (Putrajaya) dan Sarawak tidak dibatalkan penyertaan atau digantung keahlian.

“Jadi sekali lagi saya tanya kepada pihak kepimpinan PSM, Selangor, Wilayah Persekutuan (Putrajaya) dan Sarawak ini dilarang atas peruntukan mana?

“Sudahlah black and white (perjanjian hitam putih) tak ada, ikut suka hati mereka… dah macam undang-undang rimba yang diguna pakai,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Pada Jumaat lalu, pemangku Presiden PSM Datuk Akramuddin Abdul Aziz memaklumkan calon Presiden PSM yang baharu hanya boleh terdiri daripada presiden persatuan negeri yang masih bernaung di bawah badan induk itu.

Kenyataan Akramuddin itu secara tidak langsung memberikan gambaran pintu buat wakil daripada tiga persatuan negeri – Selangor, Putrajaya dan Sarawak yang keluar daripada PSM untuk bergelar Presiden PSM yang baharu sudah tertutup rapat.

Untuk rekod, tiga persatuan negeri berkenaan mengumumkan untuk keluar daripada PSM kerana hilang kepercayaan terhadap badan induk itu berikutan penggantungan Presiden PSM (ketika itu), Datuk Seri Ahmad Ismail.

Ketiga-tiga persatuan negeri itu dilaporkan hilang kepercayaan terhadap Ahmad susulan kemelut yang melanda antara PSM dengan Persatuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Mengulas lanjut, Markiman turut mempersoalkan tindakan PSM yang didakwanya tidak mengemukakan sebarang surat pertuduhan, surat tunjuk sebab mahupun surat bicara bagi melarang ketiga-tiga persatuan berkenaan hadir pada AGM kali ini.

“Kami bukannya menunggu jemputan, cuma kami tanya… mengapa PSM tak nak jemput kami? Adakah kami ini digantung atau dibatalkan keahlian? Semuanya masih belum terjawab.

“Sekiranya kami digantung atau dibatalkan keahlian dalam PSM sekalipun, bolehkah kami dihalang atau tidak dibenarkan daripada menghadiri AGM bulan depan,” soalnya.

Artikel asal di Sinar Harian

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top