Hujan lebat yang turun awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Limbang mengalami banjir kilat.

Menurut Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, air yang naik pada awal pagi tadi menenggelamkan beberapa kawasan di bandar Limbang.

“Antara kawasan yang turut terjejas termasuk Jalan 7 Batu Keliling, Taman Damai, Taman Indah dan kuarters IPD Limbang.

Namun jelasnya, keadaan banjir ketika ini terkawal selepas air sungai mula surut.

“Air sungai mula menunjukkan surut dan ini melegakan keadaan,” katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian di Kuching, Samarahan dan Serian kini sedang memantau paras sungai masing-masing berikutan hujan yang turun sejak jam 3 pagi tadi.

Hujan luar biasa ini menyebabkan paras air di beberapa batang sungai utama naik ke paras waspada.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hujan akan berlaku sehingga malam terutama di kawasan Kuching hingga Mukah, selain ribut petir di Miri dan Limbang pada sebelah petang.

MetMalaysia turut melaporkan semalam, bahawa tumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak bermula hari ini, yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan tengah dan barat Sarawak.

Sehubungan itu, agensi tersebut mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan di kawasan tersebut berkuat kuasa 11 hingga 13 Januari.