Politik

“DAP ditolak Melayu, siapa Guan Eng nak halang saya bertanding?” – Norhizam

“DAP tiada hak untuk menghalang saya bertanding bawah panji Pakatan Harapan (PH)” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee

“Saya masuk DAP ke? Siapa DAP nak menghalang saya. Saya tidak kata nak kembali ke DAP, kalau saya masuk PKR, apa kena-mengena dengan Lim Guan Eng? Kalau saya masuk Amanah, apa ada kena mengena dengan Guan Eng? Kalau saya masuk Pejuang, apa kena mengena dengan Guan Eng? Dia orang DAP, jaga sajalah orang DAP.

“Kecuali saya ini orang DAP, saya bukan ahli DAP lagi. Awak pun tahu, rakyat tolak parti Cina ini,” katanya mengulas kenyataan Lim bahawa parti itu akan membantah jika Norhizam mahu bertanding bawah panji PH.

Dalam temubual itu, Norhizam mendedahkan beliau menerima tawaran kerjasama daripada pelbagai parti menjelang PRN Melaka bulan depan, namun masih terbuka sebelum membuat sebarang keputusan.

“Setakat ini banyak parti yang dah ‘offer’ saya, parti mana, kita akan tengok nanti,” katanya sambil menyifatkan figura calon lebih penting daripada nama atau logo parti.

“Parti ini hanya satu platform saja, bila pilihan raya memang kita kena ada parti untuk bertanding tetapi lepas itu kita bergerak atas tiket sendiri,” katanya.

Beliau juga menegaskan tindakan beliau bersama tiga ADUN lain menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan UMNO kerana beliau tidak mahu sesekali bersekongkol dengan kemungkaran dan kebatilan yang berlaku secara terang-terangan di depan matanya.

“Saya berjuang kerana mempertahankan maruah kerana kejahilan, kebatilan dan kemungkaran itu berlaku di depan mata saya. Saya tolak, saya tak nak, saya ada prinsip, kalau tak betul, tetap tak betul, betul kita kata betul.

“Prinsip saya, (dalam) saya nak membantu rakyat negeri Melaka, saya (sanggup) gadaikan maruah, masa depan, politik, kedudukan, gaji saya, kereta saya, sedangkan saya boleh tutup mata duduk diam-diam. Kita (orang) bermaruah,” tegasnya tanpa mengaitkan “kemungkaran” yang disebutnya itu dengan mana-mana parti atau individu.

Tambahan beliau, beliau tidak berminat untuk bekerjasama dengan DAP mahupun UMNO menjelang PRN akan datang, apa lagi dengan parti Melayu itu.

“Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Biar putih tulang jangan putih mata,” katanya.

Norhizam bersama tiga ADUN yang lain dilaporkan mahu bertanding bawah panji PH dalam PRN, bahkan telah bertemu Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan pemimpin PH lain di sebuah hotel semalam untuk membincangkan perkara itu.

PRN Melaka bakal berlangsung pada 20 November ini, apabila tiga ADUN menarik kepercayaan untuk terus menyokong Ketua Menteri Melaka pada 14 October lalu.

PALING POPULAR

To Top