Umum

Dengar boleh, percaya jangan!

Kuala Pilah: “Ini memang saat ditunggu-tunggu kerana selama ini saya hanya membaca pelbagai berita di media sosial mengenai vaksin Covid-19. Namun saya ambil yang positif,” luah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Ainul Nadihah Zulkifli, 16, sejurus menerima suntikan vaksin tadi.

Pelajar tingkatan empat itu berkata, dia dan rakan-rakan teruja dan tidak sabar menunggu hari untuk disuntik vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Dato Bahaman Shamsudin, di sini.

“Sejak kerajaan membuat pengumuman vaksin akan mula diberikan kepada pelajar, topik mengenai vaksinasi menjadi perbincangan hangat dalam kalangan pelajar termasuk dalam kumpulan WhatsApp.

“Walaupun tular pelbagai maklumat mengenai vaksin di media sosial namun saya yakin tindakan mengambil vaksin adalah keputusan tepat,” katanya

Ainul Nadihah berkata, proses pembelajarannya kelak akan menjadi lebih senang jika pelajar dibenarkan ke sekolah selepas mengambil vaksin.

“Ketika ini kami belajar menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) yang mana ia agak merumitkan apabila kami perlu menggunakan komputer dan capaian internet. Tidak semua pelajar mempunyai kemudahan itu,” katanya.

Sementara itu pelajar tingkatan lima SMK Za’ba, Muhammad Afiq Zaharudin, 17, berkata, proses vaksinasi terhadap pelajar terutama membabitkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah usaha yang positif daripada kerajaan.

“Saya bangun awal untuk datang ke PPV ditemani ibu bapa. Memang tidak sabar untuk disuntik vaksin,” katanya

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Md Fiah Md Jamin berkata, seramai 15,800 pelajar berusia 16, 17 dan 18 tahun di seluruh negeri ini termasuk yang belajar di sekolah di luar Negeri Sembilan akan diberikan vaksin.

“Sebanyak 44 PPV di seluruh Negeri Sembilan terbabit dalam proses vaksinasi terhadap pelajar dan kebanyakannya menggunakan dewan sekolah,” katanya.

Sumber: Metro

 

PALING POPULAR

To Top