Umum

Dewan Rakyat luluskan dua RUU berkaitan mahkamah

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022.

Rang Undang-undang Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2022 diluluskan selepas dibahas tujuh Ahli Parlimen, manakala Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022 diluluskan selepas lapan Ahli Parlimen berbahas.

Kedua-dua rang undang-undang itu dibentang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Berdasarkan rang undang-undang itu, pindaan pada Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91) melibatkan penyediaan dokumen dan rekod rayuan bebas kertas dalam prosiding perbicaraan rayuan jenayah, serta mengehadkan rayuan untuk kes-kes interlokutori sivil.

Mas Ermieyati ketika membentangkan rang undang-undang bagi bacaan kali kedua berkata cadangan pindaan itu, tidak melupuskan hak pihak-pihak untuk merayu dan didengar.

“Ini kerana mereka masih mempunyai ruang menghujahkan kes dalam perbicaraan penuh dan mahkamah akan memberikan penghakiman berdasarkan merit sesuatu kes. Akses kepada keadilan masih kekal dan tidak terjejas.

“Pindaan ini memperlihatkan hanya kes yang mempunyai merit akan didengar di Mahkamah Rayuan, dan menjadikan pentadbiran kehakiman lebih efektif dan masa serta kos pihak terlibat dapat dijimatkan tanpa menjejaskan keadilan dan hak mana-mana pihak,” katanya.

Rang undang-undang itu juga membolehkan cara alternatif kepada pihak terlibat berkaitan serahan rekod dan dokumen berkaitan rayuan jenayah secara dalam talian, termasuk serahan Notis Rayuan dan dokumen lain berkaitan prosiding rayuan.

Bagi Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022, Mas Ermieyati berkata pindaan dibuat susulan daripada pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2022, yang melibatkan penyediaan dokumen dan rekod rayuan bebas kertas dalam prosiding perbicaraan rayuan jenayah.

Katanya pindaan itu bertujuan memperluas cara penyampaian suatu salinan bertandatangan alasan keputusan dengan menghantar salinan itu ke alamat elektronik perayu atau peguam perayu, sebagai tambahan kepada amalan sedia ada.

“Bagi Orang Kena Tuduh (OKT) yang tidak diwakili peguam, perayu di penjara atau tiada kemudahan internet, tidak terjejas kerana pindaan itu hanya menambah cara penyerahan secara elektronik dan cara sedia ada (serahan fizikal) masih dilaksanakan,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top