Mahkamah Tinggi memerintahkan bayaran ganti rugi sebanyak RM350,000 dibuat kepada Avtar Singh bagi pihak mendiang isterinya, Salinder Kaur yang meninggal dunia selepas mengalami strok selama 10 bulan.
Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah bagaimanapun hanya memerintahkan doktor yang merawat Salinder membayar ganti rugi tersebut, manakala Kelana Jaya Medical Centre Sdn Bhd didapati tidak bertanggungjawab.
Suami Salinder, Avtar Singh, merupakan bekas pemain hoki kebangsaan yang menganggotai skuad Olimpik 1976 dan 1980, dan pasukan Piala Dunia 1978 dan 1981.
Dalam penghakiman bertulis, Raja Ahmad berkata, “akibat kejadian tragik yang berlaku kepada isterinya, beliau terpaksa melepaskan semua kepentingannya, termasuk sebagai jurulatih, untuk menghabiskan masa sepenuhnya bagi menjaganya.”
Avtar yang kini berusia 68 tahun, telah memfailkan saman dalam kapasiti sebagai pentadbir estet Salinder.
Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan pada 2019, Salinder dibawa ke jabatan kecemasan hospital berkenaan selepas mengalami sakit teruk dan kebas pada lengan kiri, pada 21 Ogos 2016 lalu dirawat doktor berkenaan.
Beliau dipindahkan ke hospital swasta lain sebelum dipindahkan pula ke Hospital Rehabilitasi Cheras.
Memandangkan keadaannya tidak beransur pulih, Salinder yang ketika itu lumpuh dibawa pulang ke rumah sebelum meninggal dunia pada 19 Jun 2017.
Hakim berkenaan berkata, ada dakwaan bahawa doktor terlibat beramal di luar skop kelayakannya, dan seterusnya gagal mendiagnos si mati dengan betul kerana hospital terlibat tidak memiliki peralatan perubatan sewajarnya, yang menyebabkan Salinder dipindahkan ke hospital lain.
Menurutnya, si mati dilihat mengalami strok pada batang otak sebelum meninggal dunia hampir 10 bulan kemudian.
Avtar yang diwakili peguam Ravi Nekoo telah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah menolak tuntutannya terhadap hospital berkenaan.
Doktor mengakui bertanggungjawab ketika perbicaraan berlangsung separuh jalan.
Dalam penghakiman lisan dibacakan pada 18 Ogos lalu, mahkamah membenarkan ganti rugi khas kira-kira RM235,000 serta ganti rugi am RM100,000.
“Saya dapati jumlah RM100,000 itu wajar memandangkan si mati terlantar 10 bulan sebelum meninggal dunia akibat strok pada batang otak,” katanya dalam penghakiman 33 muka surat itu.