Polis menawarkan potongan diskaun sehingga 50% bayaran saman trafik terpilih sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani bermula Jumaat ( 8 Disember) hingga Ahad (10 Disember) ini, bagaimanapun pembayaran hanya boleh dibuat di kaunter di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perkara tersebut diumumkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Mohd Azman Ahmad Sapri sambil menyatakan diskaun saman itu tidak melibatkan kesalahan lalu lintas pada 2023 yang melibatkan kemalangan, kes mahkamah yang berstatus waran tangkap atau masih dalam perbicaraan dan kesalahan tidak boleh dikompaun.
Azman menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan awal saman yang dimiliki terlebih dahulu melalui portal dan aplikasi MyBayar polis sebelum ke kaunter pembayaran.
“Langkah itu bagi mengelakkan kesesakan lokasi dan untuk melancarkan proses pembayaran saman,” katanya dalam kenyataan.