Umum

Dua maut, tiga cedera termasuk bayi

Dua maut manakala tiga lagi termasuk bayi cedera selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Kota Belud-Kota Marudu, Kampung Taun Gusi, malam Ahad.

Dalam nahas kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, mangsa lelaki yang juga pemandu berusia 20-an meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang wanita meninggal dunia di Hospital Kota Belud.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kenderaan yang dipandu mangsa dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Belud bersama tiga penumpang lain termasuk seorang bayi perempuan.

“Setibanya di lokasi, mangsa memotong sebuah kenderaan di hadapan dan masuk semula ke lorong namun dalam masa sama sebuah pikap keluar simpang lalu menyebabkan pemandu hilang kawalan dan terlanggar belakang kenderaan terbabit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Ahad.

Shahrudin berkata, akibat perlanggaran kedua-dua kenderaan menyebabkan mereka terbabas masuk ke dalam longkang di sebelah kiri dan kanan jalan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sebelum itu, Shahrudin turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan patuhi undang-undang jalan raya.

*Berita asal di Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top