Umum

Dulu bukan main menentang rasuah, kini bergabung dengan perasuah: Hadi

Tan Sri Abdul Hadi Awang menyindir pemimpin pembangkang yang kononnya menentang rasuah tetapi kini sanggup pula bergabung dengan pemimpin terpalit dengan rasuah demi membentuk kerajaan.

Presiden PAS itu berkata kerajaan yang dibentuk ketika ini adalah kerajaan minoriti yang terdiri daripada pemberi dan penerima rasuah apabila sanggup berkompromi dengan kluster mahkamah demi memenuhi cita-cita seorang individu.

“Kerajaan minoriti ini disokong oleh pemberi rasuah dan penerima rasuah. (Dulu) bukan main kata menentang rasuah, tetapi bila nak tubuh kerajaan sanggup bergabung untuk cukupkan jumlah (sokongan).

“Macam mana kami nak terima, kita ada maruah. Perintah Allah SWT mengatasi perintah yang ada di dunia ini,” katanya.

Hadi terdahulu berceramah dalam Ceramah Umum Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang disiarkan di Facebook Abdul Hadi malam tadi.

Dalam pada itu, Hadi menegaskan kerajaan minoriti yang dibentuk tidak didominasi pemimpin Islam didalamnya dan sudah timbul bibit kecil perpecahan sesama mereka ketika ini.

“Islam melihat dominasi umat Islam yang memimpin. Orang Melayu Islam (sebanyak) 80 peratus atau lebih memilih PN…bersama kaum lain.

“Bukan Melayu saja termasuk ada India, China dan bukan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“(Sokongan ini) mencukupkan jumlah majoriti untuk memilih (PN) sebagai kerajaan yang sah mengikut Islam,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata, hakikatnya Kerajaan Perpaduan yang menerajui Malaysia kini dikuasai parti DAP yang meraih jumlah kerusi terbesar dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

“Yang dominasi sekarang adalah DAP, (parti) bukan Islam. Dalam PKR, sebahagiannya sahaja Islam daripada 30 kerusi dimenangi mereka, sebahagian lagi bukan Islam. DAP pula meraih 40 kerusi.

“Dengan jumlah minoriti ini tertubuhnya kerajaan minoriti, malah perkara ini turut menimbulkan kekecohan, protes dalam UMNO, ini menandakan ia perkara tak sihat (sedang berlaku),” katanya lagi.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top