Umum

Elak membawa barang larangan ke perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka 2023

Perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka 2023 yang menyaksikan Malaysia lawan Tajikistan menjangkakan kehadiran 45,000 peminat di Satdium Nasional Bukit Jalil malam Selasa.

Pelbagai jabatan dan unit PDRM membuat persiapan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awan terjamin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata semua pintu masuk stadium akan dibuka pada jam 6 petang dan perlawanan dijadualkan bermula pada jam 9 malam.

“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki perkarangan stadium,” katanya dalam kenyataan.

“PDRM tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk ataupun dalam kawasan perkarangan stadium,” ujarnya.

Sehubungan itu, barang terlarang yang dimaksudkan itu adalah mercun, bunga api, suar (flare), topi keledar, pen laser, objek tajam seperti kayu dan besi, senjata tajam dan merbahaya, minuman keras dan tongkat.

Tambahnya,”selain itu, power bank, botol air, pemetik api, mancis, rokok, rokok elektronik, vape dan bendera negara lain yang tidak berkaitan dengan perlawanan juga adalah bahan terlarang.”

Dalam pada itu, katanya untuk memastikan kelancaran lalu lintas, penyokong dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam ke SNBJ.

“Orang ramai yang tidak ke perlawanan itu diminta mengelak menggunakan jalan di sekitar stadium bagi mengelak berlaku kesesakan. Patuhi arahan anggota polis yang bertugas.

“Pengguna jalan raya juga tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium bagi mengelak tindakan saman atau kenderaan ditunda,” katanya.

Beliau memohon agar semua pihak menjaga tatasusila serta tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sama ada semasa perlawanan mahu pun selepas perlawanan itu.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top