Umum

Empat daerah di tiga negeri berisiko banjir kilat hari ini

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis terbaharu berkenaan kesiapsiagaan kemungkinan berlakunya banjir kilat melibatkan empat daerah di tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, jabatan itu memaklumkan kemungkinan kejadian di daerah Besut, Terengganu yang dijangka bermula pada jam 5 pagi Jumaat itu membabitkan Kampung La, Kampung Seberang La, Kampung Pengkalan Nangka, SMK Seri Bukit Puteri dan kawasan sekitarnya.

Kemungkinan sama juga dijangka berlaku dalam tempoh yang sama di daerah Setiu, Terengganu membabitkan dua lokasi dan kawasan sekitarnya iaitu Kampung Nyatoh dan Kampung Che Mohid.

Bagi Pahang pula, kejadian banjir berkemungkinan berlaku di lokasi Sungai Anak Endau di Rumah Pam Setajam dan kawasan sekitarnya yang terletak di Rompin bermula jam 7 pagi Jumaat.


Di Kelantan pula, lokasi yang terlibat di daerah Pasir Mas ialah Kampung Kubang Rambutan, Kampung Bagus, Kampung Degung, Kampung Telaga Mas dan kawasan sekitarnya dengan jangkaan kemungkinan banjir dijangka berlaku pada Jumaat bermula jam 2 petang.

JPS berkata, hasil simulasi model ramalan banjir, JPS kejadian banjir itu diramalkan boleh berlaku di lokasi dan waktu tersebut sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan Sungai Besut, Sungai Setiu, Sungai Golok dan Sungai Endau.

“Notis kesiapsiagaan ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut.

“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir,” ujar kenyataan itu.

Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa.

PALING POPULAR

To Top