Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah menawarkan diri untuk bertanding sebagai presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Menerusi sebuah hantaran di Tiktok, Fahmi mengumumkan perkara tersebut sambil memperkenalkan barisan pasukannya yang antaranya terdiri daripada Pengarah KL United Sdn Bhd Syed Yazid Syed Omar sebagai calon timbalan presiden dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Azman Abidin serta Mohd Razlan Rafii iaitu setiausaha politik Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi sebagai naib presiden.
Hasrat kami untuk martabatkan kelab-kelab gabungan, memastikan KLFA diurus dengan lebih baik, lebih mapan supaya bola sepak di Kuala Lumpur lebih maju,
katanya.
Jawatan presiden KLFA ketika ini dipangku Abdullah Sani Abdul Hamid selepas bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad meletak jawatan Mac lepas.
Kongres pemilihan baharu jawatankuasa KLFA dijadualkan berlangsung pada 7 September ini.