Umum

TV Alhijrah pula diberi tekanan dalam siri sekatan terbaru terhadap media

Selepas beberapa siri sekatan terhadap beberapa portal berita dalam talian, cengkaman Putrajaya terhadap media berterusan dengan saluran penyiaran Islam kerajaan disiasat kerana menyiarkan semula rancangan realiti dari awal 2022 yang memaparkan kehadiran seorang pemimpin PAS yang pernah menjadi menteri hal ehwal Islam.

TV AlHjirah, saluran televisyen tempatan di bawah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), menyiarkan tayangan semula “Hijrahkan Laguku”, pertandingan nyanyian Islamik yang pertama kali disiarkan pada Januari 2022. 

Program itu turut menampilkan Idris Ahmad, naib presiden PAS yang ketika itu menjadi menteri yang menjaga agama Islam di Jabatan Perdana Menteri. 

PAS adalah sebahagian daripada kerajaan pusat dari Mac 2020 hingga November 2022, ketika Putrajaya berada di bawah gabungan Perikatan Nasional, GPS dan Barisan Nasional.

Pada Mei, hanya enam bulan selepas pertukaran kerajaan, Pengerusi TV AlHijrah Ab Halim Tamuri digantikan dengan bekas pensyarah undang-undang Khair Ngadiron. 

Kerajaan juga mengumumkan pelantikan enam ahli lembaga pengarah baharu untuk syarikat penyiaran: Hakimah Mohd Yusoff, Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Dzul Karnain Abdullah, Shamsul Qamar Abd Rani, Azizuddin Ahmad dan Amran Idris. 

Tayangan semula malam Sabtu lalu mendorong Fakhrurrazi Rashid, penyokong Pakatan Harapan (PH) yang sehingga baru-baru ini terikat dengan badan pemikir berkaitan DAP, mengkritik menteri hal ehwal Islam ketika ini, Na’im Mokhtar.

“Patutlah orang Melayu masih percaya PAS masih kerajaan sekarang ke menteri agama tak berfungsi?” soalnya di Twitter.

Kirimannya mendapat maklum balas segera daripada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, berkata beliau sudah menghubungi pengurusan TV AlHijrah “untuk penjelasan dan tindakan”.

Ini diikuti dengan kenyataan ringkas daripada stesen itu, yang mengumumkan pelancaran siasatan dalaman.

“Penambahbaikan proses dalaman juga akan dilakukan oleh pihak TV AlHijrah agar perkara tersebut tidak berulang.”

Namun kenyataan itu mendapat reaksi yang lebih tegas daripada Na’im, yang secara terbuka menegur stesen TV itu yang terletak di bawah bidang kuasanya, menuduh kakitangannya sebagai “kecuaian dan kerja secara sambil lewa”.

“Kecuaian dan kerja secara sambil lewa tanpa amalan ketelitian tidak dapat diterima dalam bidang penyiaran.”

Kiriman tersebut tidak meredakan kemarahan penyokong PH di media sosial, yang kebanyakannya mendesak Na’im meletak jawatan kerana lambat menjalankan tugas.

“Letak jawatan la. Kami bosan menteri agama lembab dan lemah,” tulis seorang pengguna media sosial.

Dalam responsnya, Idris berkata beliau sedih dengan reaksi kerajaan, sambil menambah tidak pernah menggunakan program itu untuk sebarang tujuan politik.

“Saya hanya waktu itu menganugerahkan kepada artis-artis yang berhijrah, tiba-tiba keluar gambar saya. Saya waktu itu menteri, bukan pemimpin Parti Komunis Malaya,” katanya pada ceramah di Johor malam tadi.

Sementara itu, kenyataan TV AlHijrah di Facebook menarik ratusan komen, yang kebanyakannya mempersoalkan cara pemimpin kerajaan bertindak semata-mata berhubung rakaman musuh politik yang muncul dalam program yang ditayangkan semula.

“Kesian TV AlHijrah melayan menteri koyak,” tulis Mohd Faisal Abdul Khanan.

“Itu pun ambil peduli! Makin meluat pula, benda elok dan baik serta diminati ramai eloklah diulang siar,” kata Mohd Firdaus Ahmad.

“Siaran ulangan pun ada yang koyak ka?” tanya Abdul Aziz Yusoff Rantawi.

“Hanya kerana beza politik,” kata Mohd Taib Latip.

Sebahagian besar pengulas sementara itu berkata mereka tidak pernah menonton televisyen selama bertahun-tahun, dengan sesetengahnya mengatakan mereka tidak mengikuti saluran percuma.

Insiden terbaru itu berlaku susulan siri sekatan terhadap saluran media di negara ini, yang terbaru ialah langkah menyekat TV Pertiwi, sebuah portal berita dalam talian yang mengkhususkan video pendek dan podcast politik.  

Pada Jumaat, syarikat media itu enggan menurunkan enam kandungan berita, sebagai sebahagian daripada syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), agensi di bawah kementerian Fahmi yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini menggesa platform media sosial seperti X (dahulunya Twitter ) dan TikTok untuk mengeluarkan kandungan yang mengkritik kerajaan.

Pada Jun, Fahmi mendapat kecaman hebat selepas portal berita MalaysiaNow disekat selama 48 jam. 

SKMM enggan menjawab soalan yang diajukan berulang kali bagi mendapatkan penjelasan. 

Bulan lalu, satu lagi laman sesawang isu semasa, UtusanTV, yang dikendalikan oleh bekas kakitangan syarikat media Utusan Melayu yang kini tidak beroperasi, turut disekat.

SKMM juga melakukan sekatan capaian ke atas laman sesawang Malaysia Today yang dikendalikan oleh pengkritik kerajaan, Raja Petra Kamarudin, serta sebuah blog yang mengkhususkan kecurangan korporat dan kewangan yang dikendalikan oleh bekas ahli Parlimen DAP Wee Choo Keong.

Sumber: Malaysianow

PALING POPULAR

To Top