Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim hari ini menuduh ahli lembaga pengarah FGV Holdings Berhad mengkhianati peneroka Felda yang miskin selepas pemegang saham meluluskan resolusi menaikkan faedah dan elaun pengerusi dan pengarah bukan eksekutif syarikat itu.
“Kenapa saya kata ahli lembaga FGV telah mengkhianati peneroka Felda? Kerana daripada sembilan agenda AGM (mesyuarat agung tahunan) hari ini, enam daripadanya tertumpu untuk meluluskan usul menaikkan elaun lembaga pengarahnya.
“Elaun yang akan dibayar kepada lembaga pengarah terlalu tinggi dan lumayan. Jumlah tahunan yang dibayar kepada pengarah adalah menjelikkan jika diletakkan bersebelahan dengan kehidupan susah peneroka Felda,” kata Ahli Parlimen PKR itu dalam satu kenyataan petang ini.
Pemegang saham FGV pada mesyuarat agung tahunan ke-14 FGV hari ini dilaporkan meluluskan sembilan resolusi yang antara lain, menaikkan lebih daripada dua kali ganda elaun tahunan Datuk Dzulkifli Abd Wahab sebagai pengerusi bukan eksekutif (NEC) kepada RM480,000 daripada RM300,000 sebelumnya.
FGV, yang terbabit industri perniagaan tani dan makanan, merupakan gabungan badan berkanun Felda.
Menurut laporan MalayMail, Dzulkifli akan menerima yuran bulanan RM40,000 sebagai pengerusi bukan eksekutif, naik RM15,000 sebagai sebahagian daripada struktur yuran baharu yang akan berkuat kuasa 24 Jun.
Pada masa sama, tujuh pengarah bukan eksekutif FGV lain akan menerima yuran bulanan RM12,500 sehingga AGM berikutnya, kenaikan RM2,500.
Harga saham FGV telah menjunam hampir 13 peratus sejak awal Jun, turun 60 sen sesaham daripada RM1.73 pada 1 Jun kepada RM1.50 setakat tengah hari ini.
FGV disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada 2012 menjadi kegemaran pelabur pada harga tawaran RM4.55 sesaham dalam apa yang dianggap sebagai tawaran awam permulaan kedua terbesar di dunia selepas Facebook.
Harga saham telah menjunam sejak penyenaraian. Pada 23 Jun 2021, harga saham FGV didagangkan pada hanya RM1.30.
Felda dan KPF kini menguasai 81 peratus saham FGV, dengan kerajaan Pahang dan Sabah memiliki baki masing-masing lima dan empat peratus.
Prestasi buruk syarikat itu dilihat sebagai salah satu punca yang mendorong Barisan Nasional hilang kuasa pemerintahan negara pada pilihan raya umum 2018.
Di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), pemegang saham diarah menghalang percubaan untuk menaikkan imbuhan ahli lembaga pengarah FGV.
Langkah itu adalah sebahagian daripada cadangan yang dibuat dalam Kertas Putih yang dibentangkan oleh kerajaan PH untuk membantu memulihkan semula kewangan FGV dan meningkatkan taraf hidup peneroka Felda.
Mengulas lanjut, Hassan melihat keputusan firma itu menaikkan elaun pengarah menandakan kembalinya tadbir urus korporat yang lemah yang telah menyumbang kepada kerugian berbilion ringgit.
“Adalah amat malang dan tidak bertanggungjawab bahawa lembaga pengarah FGV hanya berminat untuk membincangkan, membentang dan meluluskan (usul untuk menaikkan) elaun mereka sendiri,” katanya.
Bagi suku terakhir berakhir 30 September 2021, FGV melaporkan jumlah pinjaman sebanyak RM4.17 bilion, terdiri daripada RM1.47 bilion dalam pinjaman jangka panjang dan RM2.71 bilion dalam pinjaman jangka pendek, berbanding RM6.72 bilion dalam jumlah ekuiti.
Sumber: Agenda Daily