Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan bahawa di hadapan pengundi iaitu pada 19 November ini, terdapat satu penentuan untuk memilih masa depan diri sendiri dan anak cucu serta generasi muda masa depan.
Beliau turut mengingatkan supaya pengundi dapat menggunakan akal fikiran yang bijak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti, supaya sebuah kerajaan yang bersih dan mementingkan rakyat dapat dibentuk.
“Ia (penentuan) bukan setakat menentukan masa depan kita… kalau kita masih hidup hari ini… tapi ia adalah untuk anak cucu kita,” katanya pada program Jelajah Prihatin Perikatan Nasional di Putrajaya, malam tadi (26 Oktober 2022).
Sebab itu, katanya dengan kepemimpinan yang baik daripada PN, yang menegakkan kebenaran menentang kemungkaran, pembangunan rakyat secara menyeluruh agar Malaysia kembali menjadi negara maju dan dihormati, akan dapat dilaksanakan.
Untuk membentuk sebuah kerajaan yang betul, kata bekas Perdana Menteri kelapan Malaysia, bukan sesuatu yang mudah kerana pemimpinnya mesti amanah dan bertanggungjawab.
“Pentadbiran kerajaan yang dibentuk itu mesti menguruskan hal ehwal negara kita ini dengan cara yang betul. Yang beramanah yang bertanggungjawab… yang dapat menguruskannya dengan secara yang sebaik-baik mungkin.
“Ia bukan untuk kita sahaja, tetapi juga untuk anak-anak dan cucu-cucu kita. Jadi ini (membentuk kerajaan) bukan satu perkara yang mudah. Sebab itu, satu undi adalah penentunya,” kata Presiden Bersatu itu.
Sehubungan itu, Muhyiddin mengingatkan pengundi supaya tidak bermain-main dalam memilih parti yang diharapkan dapat membentuk kerajaan.
“Warga Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas secara automatik mempunyai hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negara (untuk mengundi) yang harusnya dihargai.
“Supaya dengan hak kita mengundi kita dapat membentuk sebuah kerajaan yang baik. Dengan kerajaan yang baik itu, negara sebagaimana di sebuh dalam al-Quran.
“Jadi, tolonglah keluar ramai-ramai untuk menentukan nasib kita dan anak cucu, generasi masa depan negara,” katanya.
Sumber: Agenda Daily