Umum

Gangguan Seksual, jumlah mangsa lelaki meningkat

Gambar Hiasan

Aduan berkaitan mangsa gangguan seksual melibatkan golongan lelaki yang diterima menerusi Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) semakin meningkat.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Aiman Athirah Sabu, kementeriannya telah menerima sebanyak 1,486 kes aduan berkaitan gangguan seksual menerusi PSSS sepanjang tempoh 14 siri Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual diadakan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 411 kes (27.7 peratus) melibatkan mangsa lelaki,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Selasa.

Pada 29 Oktober lepas, beliau berkata, PSSS menerima 1,213 laporan daripada mangsa gangguan seksual sepanjang 12 siri Program Jerayawara sejak dilancarkan Mei lepas dengan 351 orang atau 28.9 peratus merupakan golongan lelaki.

“Bagi memastikan gangguan seksual difahami dan meningkatkan kesedaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah melaksanakan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di 14 negeri melibatkan 19,423 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Pelbagai program advokasi diadakan bersama pihak swasta dan badan bukan kerajaan bagi pencegahan dan meningkatkan kesedaran gangguan seksual di premis masing-masing.

“Sebanyak 54 program advokasi telah dilaksanakan dengan pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) melibatkan 9,354 peserta.

“Selain itu, promosi serta hebahan juga diperluas melalui media sosial dan media massa melibatkan seramai 3.5 juta pendengar, penonton dan pembaca,” katanya.

PALING POPULAR

To Top