Umum

Gelombang PN kali ini lebih besar berbanding PRU15

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa akan berlaku gelombang kebangkitan rakyat terutama membabitkan sokongan golongan muda kepada Perikatan Nasional (PN) yang lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini berbanding ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November lalu.

“Pada masa itu (PRU15), kita tak nampak (gelombang) sebab payah nak baca anak muda kerana seramai tujuh juta (pengundi baharu) yang masuk dalam sistem pilihan raya, kita tidak tahu ke mana hala tuju mereka.

“Dekat pilihan raya baru kita lihat gelombang bersama PN. Berbeza dengan sekarang iaitu dari awal lagi sebelum hari penamaan calon, gelombang PN berlaku di seluruh enam negeri ini,” katanya yang dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia ketika berucap pada sebuah ceramah di Pekan Naka, Padang Terap, malam tadi.

Tuan Ibrahim berkata, gelombang tersebut tidak boleh dibendung lagi kerana ia boleh disaksikan di mana-mana sahaja yang akan diterjemahkan pada hari pengundian nanti.

Berdasarkan situasi itu, katanya, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kini dalam kebimbangan dan menjadikan menteri besar sementara Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, yang mengetuai jentera pilihan raya PN sebagai sasaran.

“Sebab itu mereka bimbang dan tengok siapa ‘kepala’ (PN), iaitu Sanusi Sebab itu dia wirid Sanusi, Sanusi. Tidur malam pun mimpi Sanusi.

“Sanusi kita lantik ketua pengarah pilihan raya PN, dia jadi pengarah atau seperti komander tentera. Dia tahu nak bawa dan hadap macam mana serta strategi yang perlu dibuat,” kata Tuan Ibrahim.

Katanya, jika gelombang itu berterusan di seluruh negara dan seterusnya memberi kemenangan besar kepada PN, ia dipercayai akan mengganggu kedudukan PH dalam kerajaan pusat.

Pada 18 Julai, Sanusi didakwa dengan dua pertuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen di Selayang berhubung ceramahnya pada 11 Julai.

Dia didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Pemimpin PAS itu kemudian memohon supaya dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Sumber: Malaysiakini

PALING POPULAR

To Top