Gua Musang bakal menjadi kawasan pengeluar durian Musang King terbesar di negara ini.
Ini susulan kejayaan kerajaan Kelantan menarik pelaburan aktiviti agro-pelancongan dan perladangan durian Musang King bernilai RM1.4 bilion yang berpangkalan di Pos Blau, Gua Musang.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, usaha itu merupakan langkah kerajaan negeri untuk meningkatkan sumber pendapatan berasaskan pelancongan yang sebelum ini bergantung dengan aktiviti pembalakan.
Menurut Mohd Amar, pelaburan industri perladangan Musang King dan pelancongan itu akan dikendalikan oleh Syarikat Sindiyan Sdn Bhd di atas tanah seluas lebih 3,000 hektar.
“Projek ini boleh mengembalikan jenama itu kepada Kelantan supaya Gua Musang ini menjadi tempat pengeluaran Musang King yang utama di seluruh negara.
“Sebab perancangan eksport ini nak ke negara China dan ‘agro-tourism’. Kelantan juga sedang berusaha untuk meningkatkan lagi aspek pelancongan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Tapak Pembangunan Pusat Agro Pelancongan dan Ladang Durian Musang King di Pos Blau, Gua Musang pada Khamis.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan Pengerusi Sindiyan Agropark dan Datuk Roshaimi Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Hernan Corporation Sdn Bhd Anna Teo.
Sementara itu, Anna berkata, sebanyak 300,000 pokok durian Musang King dapat ditanam di atas tanah berkeluasan 10,000 ekar.
Menurutnya, syarikatnya bertindak memasarkan hasil pengeluaran durian Musang King di kawasan itu ke negara China dan negara terpilih yang lain.
“Buah dalam jangka masa lapan tahun akan mencapai 30 tan metrik tan setahun dan ini cukup memberi peluang untuk eksport ke seluruh dunia.
“Jadi sekarang ini kita eksport durian ke China tidak sampai satu peratus rakyat China boleh dapat durian dari Malaysia,” katanya.
Selain ladang dan kilang pengeluaran durian Musang King, kawasan itu juga akan dilengkapi dengan masjid, perumahan, galeri rumah Orang Asli dan taman bunga-bungaan.
Projek berkenaan juga akan memberi peluang pekerjaan kepada lebih 200 penduduk Orang Asli tempatan.