Buletin

Jho Low letak Najib, Sheikh Mansour dalam senarai untuk dirasuah: Saksi

Seorang saksi utama dalam perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram ke atas bekas eksekutif Goldman Sachs berkata skandal untuk merompak berbilion dolar daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dirancang sedekad lalu di dalam apartmen seorang ahli perniagaan Asia yang masih dalam buruan.

Tim Leissner, bekas rakan kongsi Goldman memberi keterangan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat pada Rabu bahawa ahli perniagaan Jho Low, memberitahunya dan defendan, bekas rakan sekerjanya Roger Ng, mengenai rancangan untuk membayar sehingga AS$1 bilion rasuah kepada pegawai asing.

Leissner berkata dalam mesyuarat di London pada 2012, Jho Low menyenaraikan individu di Malaysia dan Abu Dhabi, yang menurutnya perlu disogok untuk rancangan mengumpul AS$1.75 bilion hutang 1MDB bagi mendapat kelulusan.

Sebuah syarikat yang berpangkalan di Abu Dhabi bertindak sebagai penjamin untuk 1MDB dalam perjanjian itu, kata Leissner.

Dalam senarai itu dicatatkan nama bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mansour, sebagai individu yang perlu dirasuah, kata Leissner dalam perbicaraan Ng.

Perbicaraan Ng bermula pada Isnin dan dijangka berlangsung beberapa minggu. Kemungkinan besar ia akan menjadi satu-satunya perbicaraan yang akan berlaku di AS berhubung rompakan terhadap dana 1MDB.

Pendakwa raya menuduh Ng, 49, menerima sogokan berjuta-juta dolar kerana membantu menggelapkan dana 1MDB.

Ng mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

Pada tahun 2018, Leissner, 52, mengaku bersalah atas tuduhan serupa dan bersetuju untuk bekerjasama dengan siasatan kerajaan.

Leissner dan anak syarikat Goldman Sachs telah pun mengaku bersalah dalam kes itu, manakala Jho Low, seorang pembiaya bebas yang suka menganjurkan parti mewah di Las Vegas dan Los Angeles, kekal sebagai pelarian.

Leissner, yang memberitahu dia pernah “berkawan rapat” dengan Ng serta penyelianya untuk Goldman di Asia, adalah saksi pendakwaan pertama tuduhan terhadap Ng untuk merompak dana 1MDB.

Pendakwa raya di seluruh dunia berkata wang yang dikumpul untuk dana itu sepatutnya membiayai projek infrastruktur bagi memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, tetapi sebaliknya digunakan untuk membiayai perbelanjaan mewah oleh Jho Low dan orang lain yang rapat dengan Najib.

Leissner berkata Jho Low menjadi hos mesyuarat 2012 di pangsapurinya di London.

Dalam keterangannya dia berkata Jho Low menerangkan secara terperinci semua pegawai kerajaan yang akan dirasuah bagi membolehkan Goldman mendapatkan hak bagi mengatur tawaran bon berbilion-bilion dolar untuk dana 1MDB.

Jho Low juga memberitahu bekas eksekutif Goldman bahawa wang untuk rasuah itu perlu datang daripada hasil tawaran bon – dan mereka juga akan mendapat sebahagian daripada hasilnya, menurut Leissner.

“Roger dan saya diberitahu oleh Jho Low bahawa kami akan dijaga,” katanya.

Leissner berkata dia tahu bahawa rancangan itu adalah menyalahi undang-undang tetapi ia tidak mengganggunya kerana mendapatkan urus niaga bon untuk Goldman yang akan menghasilkan bayaran yang besar untuk bank Wall Street itu.

“Saya mahu menjadi wira di Goldman Sachs,” katanya.

Ng pada awalnya memperkenalkan Leissner dan beberapa yang lain di Goldman kepada Jho Low pada 2008, katanya.

Leissner menambah bahawa dia dan Ng menyedari bahawa Jho Low adalah kunci untuk mendapatkan jaminan obligasi bon bagi Goldman, walaupun dia tidak mempunyai jawatan di 1MDB.

“Dia tidak pernah mempunyai sebarang peranan rasmi namun dia adalah pembuat keputusan utama,” kata Leissner.

Jho Low, yang juga telah didakwa dengan kes rasuah dan pengubahan wang haram, dipercayai menetap di China.

Leissner berkata dia dan Ng kedua-duanya mengekalkan urusan mereka dengan Jho Low daripada kebanyakan rakan sekerja Goldman mereka selepas bank itu secara rasmi menolak usaha mereka untuk membawa beliau masuk sebagai pelanggan pengurusan kekayaan.

Walaupun beberapa pegawai bank di Goldman tahu bahawa Jho Low berkhidmat sebagai orang tengah dalam rundingan 1MDB, hanya dia dan Ng yang mengetahui butiran pencurian dana itu, kata Leissner.

Pada pemeriksaan balas, peguam Ng dijangka menyoal Leissner mengenai peranannya dan dakwaannya mengenai tahap penglibatan Ng dalam rundingan 1MDB.

Peguam pembelaan Ng, Marc Agnifilo, dalam kenyataan pembukaannya pula berkata, Ng tidak mempunyai peranan dalam skim yang didakwa dilakukan oleh Leissner dan Jho Low.

Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) berkata, sejumlah AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) dana yang diperoleh daripada urus niaga itu telah dialihkan.

Pada tahun 2020, bank itu membayar denda hampir AS$3 bilion (RM12.55 bilion) dengan mengatur supaya unitnya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS.

– Agensi

PALING POPULAR

To Top