Umum

Had umur jemaah haji ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi

Menjawab kecaman orang ramai tentang umur jemaah haji yang dihadkan tahun ini, Ketua Pegawai Eksekutif TH Travels & Services, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali menjelaskan bahawa ia bukan di bawah bidang kuasa mereka tetapi ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Ujarnya, syarat ketat yang ditetapkan adalah untuk melindungi keselamatan kesihatan seluruh jemaah haji dari serata dunia yang menyambut panggilan ke tanah suci selepas dua tahun pintu ditutup dek pandemik.

Maka ada empat syarat yang perlu dilepasi oleh rakyat Malaysia yang mahu menunaikan haji, selain daripada ketetapan kerajaan Arab Saudi itu mereka juga perlu lulus tiga lagi syarat kesihatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu tekanan darah, kandungan gula dalam darah serta Indeks Jisim Tubuh (BMI).

“Had umur ini ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, digunapakai kepada semua jemaah haji, tiada negara yang terkecuali (di mana ditetapkan bahawa) mereka yang lahir sebelum 1 Julai 1957 tidak dibenarkan pergi.

“Tiga lagi yang lain dijadikan sebagai garis panduan saringan kesihatan jemaah haji Malaysia yang dikuatkuasakan oleh KKM.”

Tegasnya, hidup dan mati memang ketentuan Allah SWT namun ikhtiar kita sebagai manusia adalah menjaga kesihatan sebaiknya dan andai kata dijangkiti COVID-19 ketika menunaikan haji, ia tidaklah melarat hingga menyulitkan segala urusan di sana.

Maka jelas beliau, KKM telah menjalankan kajian secukupnya untuk menetapkan tahap kesihatan yang sesuai untuk seseorang itu dibenarkan berangkat ke tanah suci untuk menunaikan haji demi kemaslahatan semua.

“Pemeriksa yang membuat saringan juga adalah doktor yang bukan sahaja bertauliah tetapi ada tauliah kedua yang lebih khusus untuk membuat saringan bagi jemaah haji Malaysia, bukan semua doktor boleh buat.”

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top