Umum

Nazri cabar pemimpin UMNO galak gesa PRU-15 segera jumpa Agong

Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz mencabar pemimpin UMNO yang mendesak supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal supaya menghadap dan meminta terus kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata pemimpin UMNO – yang tidak beliau namakan itu – sepatutnya berbuat demikian daripada terus memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Penentuan tarikh PRU-15 adalah di tangan Agong.

“Pendapat saya mudah sahaja. Jika anda benar-benar mahukan pilihan raya sekarang, pergi dan minta sahaja daripada Agong (sendiri).

“Dan maklumkan kepada perdana menteri tentang hasilnya nanti, jika anda cukup berani,” kata Nazri memetik laporan sebuah akhbar hari ini.

Sambil berkata mereka yang cuba memaksa PRU-15 mengejut sekarang berbuat demikian kerana kepentingan peribadi, Nazri menyifatkan perbincangan terbuka mengenai tarikh PRU akan datang sebagai tindakan tidak menghormati kuasa Agong.

Sebelum ini, Ismail Sabri dalam temu bual dengan akhbar Jepun Nikkei Asia minggu lepas berkata bahawa sekarang adalah masa yang sukar untuk mengadakan pilihan raya, memetik inflasi negara yang semakin meningkat dan krisis kos sara hidup.

Bagaimanapun, selepas pemimpin UMNO secara terbuka memberi tekanan kepadanya ketika konvensyen ulang tahun ke-48 BN minggu lalu, Perdana Menteri berjanji akan mengadakan PRU sebaik sahaja gabungan itu bersedia menghadapinya.

Nazri sebelum ini menuduh pemimpin UMNO memburukkan Ismail Sabri sebagai mementingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab, dan mengulanginya dalam kenyataan terbarunya apabila menyatakan bahawa kos mengadakan pilihan raya akan menjejaskan keupayaan kerajaan dalam menangani krisis ekonomi.

“Dengan kos PRU-15 dijangka RM1 bilion jika ia diadakan sekarang, di mana kita boleh mencari wang sebanyak itu?” soal beliau.

Secara berasingan, Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan memberitahu akhbar berkenaan pihaknya sudah bersedia sepenuhnya menghadapi PRU-15 selepas menamatkan mesyuarat dalaman di Janda Baik, Pahang hujung minggu lalu.

“Jentera (pilihan raya) UMNO sudah bersedia selepas kita melaksanakan pelbagai kursus merentasi biro yang berbeza untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” kata Shahril.

PRU tidak perlu diadakan sehingga Jun 2023, apabila Parlimen ke-14 akan dibubarkan secara automatik selepas tamat tempoh lima penggal ke-14.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top