Sejumlah 22.5 peratus daripada 2.4 juta peminjam Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) tidak membuat bayaran balik pinjaman selepas tamat pengajian.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata ia melibatkan pinjaman yang berjumlah hampir RM9.1 bilion.
“Setakat 30 September 2021, seramai 2.4 juta peminjam telah menamatkan pengajian dan sepatutnya PTPTN mula menerima hampir RM24.6 bilion sebagai bayaran balik.
“Namun, setakat ini, 77.5 peratus telah mula membayar balik dengan jumlah hampir 800,000 peminjam telah selesai pinjaman; 400,000 peminjam sedang membuat bayaran balik secara konsisten mengikut jadual pembayaran tersebut dan seramai 700,000 lebih kurang membuat bayaran balik tetapi tidak konsisten.
“Secara keseluruhannya RM15.5 bilion telah berjaya dikutip,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri @DrNorainiAhmad berkata setakat 30 September 2021, seramai 2.4 juta peminjam menamatkan pengajian dan sepatutnya PTPTN mula terima hampir RM24.6 bilion sebagai bayaran balik.#AWANInews#SisiTVParlimen#DewanRakyat pic.twitter.com/m1dS6FZZCV
— 🇲🇾Astro AWANI🇲🇾 (@501Awani) November 15, 2021
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang ingin tahu jumlah hutang serta kemampuan PTPTN untuk memberi pinjaman baharu kepada pemohon susulan beban tunggakan yang tinggi.
Mengulas lanjut, Noraini berkata model pembiyaan yang diguna pakai PTPTN adalah bergantung kepada prestasi bayaran balik sebagai sumber utama dana bagi membiayaan pinjaman sedia ada dan pembiayaan baharu.
Pihaknya mendapati bahawa pemberian insentif diskaun seperti diskaun bayaran balik telah berjaya menarik minat peminjam untuk membuat bayaran balik kepada PTPTN.
Antara inisiatif PTPTN dalam menggalakkan peminjam membuat bayaran balik adalah pelaksanaan diskaun seperti yang diumumkan Kementerian Kewangan iaitu diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, diskaun 12 peratus jika dibayar 50 peratus baki hutang dan diskaun 10 peratus jika membuat potong gaji atau debit terus.