Politik

Jika menang, PN tawar RM200 buat penduduk Melaka

Gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN)  dalam manifestonya yang dilancarkan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menawarkan bayaran RM200 sekali bayar kepada guru tahfiz, Kelas al-Quran, Fardhu Ain dan tadika di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) jika berjaya membentuk kerajaan negeri.

Bantuan  sama akan diberikan kepada anak-anak yang dilahirkan di Melaka bermula  tahun ini sebagai insentif kepada rakyat dalam tempoh sukar sehingga memberi kesan kepada perbelanjaan menyambut kelahiran.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kedua-dua tawaran one-off itu adalah  tunjang kedua dalam Ikrar PN yang memfokuskan keprihatinan kepada rakyat meliputi pelbagai aspek termasuk kesihatan mental dan jasmani, perumahan, kemudahan rekreasi dan pendidikan untuk setiap rakyat Melaka.

Menurut beliau, kerajaannya juga jika menang akan memastikan Melaka berada dalam kedudukan tiga negeri terbaik dalam pencapaian keputusan peperiksaan awam di negara ini.

“Selain itu, hab pendidikan latihan dan vokasional ataupun TVET akan diwujudkan di Melaka iaitu melalui kerjasama kementerian dan agensi berkaitan dan juga pihak swasta tempatan dan antarabangsa.

“Keprihatinan PN kepada rakyat adalah merangkumi semua lapisan masyarakat termasuk belia dan juga wanita melibatkan golongan suri rumah, ibu tunggal dan orang kelainan upaya dan pelbagai program bantuan kemahiran dan khidmat nasihat akan disediakan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Ikrar Perikatan Nasional bagi PRN Melaka di sini hari ini.

Beliau menambah, perhatian juga akan diberikan kepada koperasi usahawan wanita yang bergiat aktif perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

PN dalam manifestonya menggariskan enam tunjang utama dengan 11 strategi berlandaskan kepada 74 pendekatan jika parti tersebut berjaya membentuk kerajaan negeri  di Melaka.

Tunjang tersebut adalah ekonomi, keprihatinan kepada rakyat, kerancakan sektor pelancongan, kelestarian alam sekitar, kecekapan infrastruktur dan keteguhan serta kejujuran pentadbiran motto ‘Melaka Bangkit Gemilang’. – UTUSAN 

PALING POPULAR

To Top