MENTERI Dalam Negeri, Hamzah Zainudin telah meminta pegawainya untuk menyiasat kes Rohana Abdullah, yang ditinggalkan ketika berusia dua bulan di sebuah tadika 22 tahun lalu, selepas ibunya pulang ke Indonesia.
Rohana dibesarkan guru tadika Chee Hoi Lan mengikut cara hidup Islam. Namun sehingga kini, dia belum memperoleh dokumen untuk mengesahkan taraf kewarganeraaan yang dimohonnya.
“Saya berasa tersentuh apabila dimaklumkan berhubung perkara ini pada minggu lalu dan telah mengarahkan pegawai saya untuk menyiasat kesahihan maklumat yang diberikan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya ringkas di Facebook pagi ini.
Chee yang kini berusia 83 tahun menjadi guru di tadika tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan.
Wanita warga Indonesia itu dilaporkan berkahwin dengan lelaki tempatan yang dikatakan menghilangkan diri tidak lama selepas kelahiran Rohana pada 1999.
Ibunya kemudian meninggalkannya di tadika itu dan sejak itu dia dibesarkan oleh Chee.
Menurut laporan Harian Metro, Chee berkata dia berusaha menyediakan segala keperluan Rohana seperti menghantarnya ke Kelas Asas Fardu Ain (Kafa), mempelajari perkara asas Islam dan memastikan makanannya halal serta melakukan ibadat sebagai seorang Islam.
Chee, yang tidak berkahwin, meluahkan rasa kasihnya terhadap Rohana dan lega kerana dapat membesarkan Rohana sebagai seorang Islam, namun dia berharap dapat melihat Rohana berkahwin sebelum ajalnya.
Bagaimanapun, ekoran situasi dirinya, Rohana berdepan masalah mendapatkan status kewarganegaraan.
Dia telah memohon taraf kewarganegaraan pada 2016 namun sehingga kini masih belum menerima maklum balas.