Umum

Harga minyak jatuh mendadak sejak Januari, amat membimbangkan!

Harga minyak jatuh mendadak hari ini, mendapat tekanan daripada kebimbangan yang semakin memuncak bahawa kelembapan ekonomi dunia akan menjejaskan permintaan terhadap bahan api.

Minyak West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Oktober susut AS$4.94, atau 5.7 peratus, untuk ditutup pada AS$81.94 serong di New York Mercantile Exchange.

Minyak mentah Brent bagi penghantaran November turun AS$4.83, atau 5.2 peratus, untuk berakhir pada AS$88 setong di London ICE Futures Exchange.

Kedua-dua penanda aras minyak Amerika Syarikat (AS) dan global itu ditutup pada paras paling rendah sejak Januari, menurut Dow Jones Market Data.

Penurunan itu berlaku ketika peniaga semakin bimbang bahawa dasar pengetatan agresif bank-bank pusat utama untuk membendung inflasi akan menyebabkan kemelesetan, sekali gus menjejaskan permintaan terhadap tenaga.

Bank Pusat Eropah (ECB) berkemungkinan besar meluluskan kenaikan besar kadar faedah apabila bermesyuarat esok.

Sementara itu, data ekonomi terkini AS mengukuhkan lagi jangkaan bahawa Rizab Persekutuan akan kekal dengan pandangan untuk menaikkan kadar faedah.

Pelabur turut melihat kepada data stok minyak mentah AS apabila Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) akan mengeluarkan laporan status petroleum mingguan esok.

Penganalisis yang diambil pendapat oleh S&P Global Commodity Insights mengunjurkan bahawa inventori minyak mentah AS akan menunjukkan penurunan sebanyak 1.8 juta tong bagi minggu berakhir 2 September 2022.

-BERNAMA

PALING POPULAR

To Top