Umum

Harga tiket bas ekspres sempena Aidilfitri naik 10-20%

Pengguna perkhidmatan bas kini terpaksa berdepan kenaikan harga tiket menjelang sambutan Hari Raya yang naik antara 10 hingga 20% selepas terbeban dengan kenaikan harga barang keperluan.

Kenaikan harga tambang bas ekspres tersebut berkuat kuasa sepanjang tempoh sah laku Lesen Perubahan Sementara (LPS) yang bermula 29 April depan hingga 8 Mei.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Mohamad Ashfar Ali berkata kerajaan telah menetapkan kadar tambang pada RM0.10 setiap kilometer ke atas tambang bas ekspres sedia ada sepanjang tempoh tersebut.

Beliau juga berkata, kenaikan harga dalam lingkungan 10% tersebut sebenarnya digunakan untuk menampung kos pekerja dan perjalanan sempena Hari Raya Aidilfitri serta berperanan sebagai insurans bas baharu.

“Sebanyak 4,700 bas ekspres akan beroperasi sepanjang tempoh tersebut membawa 141,000 penumpang ke destinasi seluruh negara,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia.

Peningkatan tersebut memperlihatkan harga tiket bas, misalnya dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan mengalami kenaikan tambang dari RM46.20 kepada RM50.20, manakala peningkatan harga tambang dari RM30 kepada RM35 bagi bas menuju ke Larkin, Johor.

Berdasarkan semakan dari laman sesawang redbus.my, sistem tempahan tiket bas ekspres dalam talian juga menunjukkan perjalanan sehala dari TBS ke Ipoh naik dari RM20 kepada RM24.

Manakala perjalanan dari TBS ke Terminal Bas Larkin, Johor pula turut berlaku peningkatan harga dari RM30 kepada RM35, iaitu antara RM5 hingga RM8.

Mohamad Ashfar berkata, pihaknya tidak mempunyai rancangan dalam penambahan kuantiti bas sepanjang tempoh Aidilfitri.

“Disebabkan terdapat jangkaan bahawa permintaan tiket bas meningkat dan dikhuatiri menambah potensi risiko jangkitan Covid-19, saya ingin berpesan kepada penumpang supaya hadir 30 minit awal bagi memastikan pematuhan SOP,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Ketua Aktivis Pengangkutan Awam Darat, Kamarudin Hussain menyambut baik peningkatan tersebut dan berharap agar masyarakat awam menerima kenyataan tersebut.

“Kalau kerajaan sudah menaikkan kadar tambang, saya rasa itu adalah satu pendekatan baik dari mereka sebab kita tengok hari ini alat ganti dan pelbagai barangan lain untuk melan­carkan perjalanan meningkat de­ngan drastik.

“Jadi kenaikan tersebut se­cara tidak langsung boleh me­­nampung kos operasi syarikat-syarikat bas ekspres,” katanya.

Sumber: FMT News

PALING POPULAR

To Top