Umum

Henti hina agama Islam – Idris Ahmad

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad mengingatkan kepada semua pihak untuk tidak melakukan sebarang penghinaan terhadap Islam.

Beliau berkata sekiranya perkara ini dibiarkan berterusan, beliau bimbang akan berlaku tindak-balas yang tidak diingini dalam kalangan umat Islam di negara ini, yang begitu sensitif terhadap isu-isu berkaitan agama.

“Saya mengingatkan orang Islam ini, bab agama dia sensitif. Saya mengingatkan kepada mereka yang hina agama ini terutamanya yang duduk di negara kita ini, jangan hina. Kita hidup aman damai.

“Kerana kita bimbang, orang Melayu ini terutamanya yang Islam, mereka dengan agama tak boleh dipisah…Oleh itu kena hormat, jangan buat penghinaan. Kami tidak menghina agama orang, dan kamu juga jangan menghina agama kami,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan sekumpulan warga asing yang berkumpul di hadapan kuil Batu Caves dan menyatakan pendirian menyokong perjuangan Hindu Samachar serta tindakan Nupur Sharma, ahli politik dari parti Bharatiya Janata yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW, pada awal Jun.

Menjawab persoalan berhubung penyalahgunaan media sosial, Idris menggesa para pembikin konten supaya lebih menitik-beratkan mengenai nilai etika dan moral, dalam setiap video yang ingin dihasilkan sebelum dimuat naik.

“Bagi orang Islam, apa yang kita buat akan jadi perkiraan apabila kita mati. Bagi bukan Islam pula, semua agama tidak mengizinkan kita melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai moral dan etika. Sepatutnya perkara ini dijadikan sebagai garis panduan dalam hidup kita.

“Dan janganlah dengan media sosial kita membunuh karakter orang semata-mata untuk dapatkan bayaran melalui jumlah tontonan,” katanya.

Di pihak kementerian, Idris berkata beliau telah mengarahkan agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), untuk menghasilkan lebih banyak video-video pendek berkonsep dakwah dan mengandungi mesej moral yang bermanfaat kepada masyarakat.

“Itu ikhtiar yang kita buat. Selain itu kalau ada benda-benda yang menyalahi dari segi moral, selalunya saya akan menghubungi pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), untuk mengambil tindakan terhadap penyiaran-penyiaran di dalam media sosial ini,” katanya.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top