Umum

“Hot Daddy” dan 2 teman wanitanya mengaku tak bersalah iklankan khidmat persundalan

Gambar Facebook

Seorang lelaki dikenali “Hot Daddy” bersama dua teman wanitanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan menerusi platform media sosial, minggu lalu.

Menurut laporan media, tertuduh Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, dan Norhidayah Mahadi, 24, yang bekerja sendiri bersama pengurus swasta, Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan platform X yang mana orang munasabah akan memahaminya sebagai khidmat persundalan.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat D7 (Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap) Bukit Aman, 10.10 pagi, 16 Januari lalu, menurut Harian Metro.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latif tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh terbabit kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan mengambil kira kepentingan awam.

“Bagaimanapun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

“Jumlah itu ialah sesuai kerana mengambil kira kepentingan awam selain pertuduhan kesalahan dikategorikan dalam jenayah serius,” katanya.

Sementara itu, peguam, Mohd Faris Abrar Othman mewakili semua tertuduh merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum.

Katanya, tiada elemen menunjukkan mereka akan melarikan diri kerana anak guamnya adalah rakyat tempatan malah keluarga mereka tinggal di sini.

“Hasli perlu menjaga bapa berusia 67 tahun yang mempunyai sejarah sakit buah pinggang selain tiga anak berusia 12, 10 dan empat tahun.

“Norshazrina bekerja sebagai pengurus swasta dengan gaji RM4,000 sebulan dan menanggung ibu berusia 56 tahun yang mempunyai penyakit jantung manakala Norhidayah tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.

Siti Aminah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari untuk serahan dokumen.

Terdahulu, tular di media sosial polis menahan seorang “gigolo” tempatan kerana merakam dan menjual video lucahnya dengan melakukan hubungan seks bersama lebih 20 wanita termasuk mereka yang mengupahnya untuk khidmat persundalan.

PALING POPULAR

To Top