Umum

Hutang Felda: Muhyiddin heret Anwar ke mahkamah

Muhyiddin Yassin memfailkan writ saman ke atas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung isu penghapusan hutang peneroka Felda yang menyaksikan kedua-dua pemimpin politik itu terbabit dalam pertikaian.

Saman berkenaan difailkan pasukan peguam bela PN dari firma Rosli Dahlan Saravana dan dilakukan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Tindakan sivil itu dibuat susulan Muhyiddin dan Anwar saling mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang berikutan ucapan perdana menteri pada majlis sambutan Hari Peneroka Felda di Serdang pada 7 Julai lalu.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang setimpal dengan pampasan RM200 juta daripada Anwar.

Selepas menerima surat tuntutan daripada Muhyiddin atas dakwaan fitnah, pada 21 Julai pula Anwar membalas dengan menghantarnya ‘pendahuluan surat tuntutan’ sebanyak RM200 juta berhubung dakwaan memfitnah perdana menteri.

Dalam pernyataan tuntutan mahkamah terkini, Muhyiddin berhujah bahawa semasa menjadi perdana menteri dalam tempoh pandemik Covid-19 2020 hingga 2021 dan selepasnya, dia dan kabinet membangunkan rancangan untuk meringankan kesusahan rakyat dan memacu pemulihan ekonomi.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata antara inisiatif berkenaan ialah menghapuskan kira 80 peratus hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion daripada RM12.1 bilion.

Dia berkata semasa mesyuarat kabinet pada 14 Okt 2020 beberapa keputusan dibuat, iaitu menghapus kira RM8.3 bilion hutang, meluluskan terbitan sukuk (bon Islam) RM9.9 bilion untuk dijamin oleh kerajaan bagi meningkatkan ekuiti Felda dalam FGV Holdings Berhad dan mengurangkan hutang Felda, dan meluluskan suntikan geran tahunan kerajaan RM990 juta kepada Felda untuk pembayaran balik sukuk.

Muhyiddin yang juga pengerusi PN mendakwa bahawa penepian hutang peneroka Felda dapat dibuktikan dengan beberapa peristiwa, seperti penyata kewangan Felda bagi tahun kewangan berakhir 2021.

Plaintif berhujah hapus kira hutang itu dibuktikan dengan jawapan bertulis oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed di Dewan Rakyat bertarikh 16 Dis 2021, mengenai 98,605 peneroka Felda (kira-kira 87.54 peratus daripada 112,638 peneroka) telah dilaksanakan.

Muhyiddin berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di parlimen bertarikh 23 Feb tahun ini pula menunjukkan pengecualian hutang diluluskan pada 2021.

Diterima anak guam

Plaintif juga menegaskan kenyataan media oleh pengerusi Felda Idris Jusoh dan peneroka sendiri bahawa RM8.3 bilion hutang telah dihapus kira pada 2021.

Muhyiddin mendakwa kenyataan Anwar yang dibuat pada 7 Julai lalu antara lain membayangkan dia berbohong mengenai penghapusan hutang peneroka Felda, serta seorang yang tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai perdana menteri ketika itu mengenai pengecualian hutang, dan menyalahgunakan kuasanya.

Selain ganti rugi, Muhyiddin juga memohon antara lain injunksi untuk menghalang defendan daripada terus memfitnahnya serta perintah mahkamah agar perdana menteri menurunkan kenyataan fitnah yang didakwa dalam talian dalam video di Facebook Anwar serta YouTube.

Muhyiddin juga meminta Anwar membuat permohonan maaf secara terbuka untuk disiarkan di semua portal berita, media massa dan platform media sosial.

Muhyiddin juga mendakwa Anwar menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri sejak membentuk kerajaan selepas berakhinya PRU ke-15 akhir tahun lalu.

Antara lain Muhyiddin mendakwa sebagai menteri kewangan Anwar membuat dakwaan sensasi, tidak berasas dan palsu terhadap plaintif dan keluarganya.

Muhyiddin juga mendakwa Anwar meminta pelbagai agensi penguatkuasaan untuk menundukkan pemimpin pembangkang kepada pendakwaan jenayah.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Anwar Sankara Nair berkata bahawa anak guamnya telah dihantar salinan kertas kausa tuntutan mahkamah yang tidak dimeterai melalui e-mel.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top